Friday, September 26, 2008

Tazkirah untuk diri

Dulu aku sering melarikan diri. Keluar jemaah, masuk hutan. Turun sungai atau pantai dan kadang-kadang dipanggil kursus ke luar daerah.

Sekarang aku telah terikat. Aku tidak dapat ke mana-mana lagi. Gerabak aku telah panjang, aku tidak boleh silap memandu. Nanti semua akan tergelincir. Hukumannya akan jatuh atas kepala aku jugak.

Untung ada laman blog yang boleh aku kunjungi. Di sana dapat aku keluar dari diriku dan cuba menghayati kehidupan orang lain. Di sana, ramai yang bahagia, tidak kurang juga yang menderita. Ada yang bahagia dengan bisnes penerbitannya, ada yang bahagia dengan universiti dan bukunya, ada yang bahagia kerana ilmu agamanya, ada yang bahagia kerana dapat menulis dalam blognya dan ada yang bahagia dengan keluarga masing-masing. Derita!, adalah seorang dua. Lebih banyak yang berbahagia.

Itu saja yang mampu aku lakukan. Dulu aku pernah memasuki kehidupan orang lain. Ada orang yang ‘menumpang menyandarkan bahu’ – untung aku tidak terperangkap lama dan selamat keluar. Aku tahu di luar sana, ramai lelaki yang telah terperangkap, ada yang dapat keluar dan ada yang tidak.

Sekarang aku tidak berani lagi memasuki kehidupan orang lain. Banyak perkara yang aku tidak diberi pengetahuan tentang apa yang tersirat atau hikmah yang berlaku. Sedangkan keluarga sendiri pun aku masih mencari jawapan. Kenapa dia begitu begini, sedang aku tidak. Kenapa dia buat perangai tidak elok, sedangkan aku dulu tidak. Baliknya aku jugak yang kena tanggung, kurang beri kasih sayang.

Sekarang, aku kena belajar berkasih sayang dan menumpukan perhatian.Tapi, bolehkah aku menelan semua kepahitan dan memberinya gula atau madu setelah apa yang dia lakukan selama berapa bulan kebelakangan ini. Aku sekarang tidak boleh berdendam.

Walau pun aku tidak berbapa diusia kecilku, aku tidak boleh menghukumkan anak-anakku. Tapi, sukar menjadi bapa bila tiada berbapa. Aku hanya berbapa sekadar lingkungan tiga tahun. Itu pun aku sendiri memilihnya untuk merasai kasih sayang bapa, walau terpaksa berpisah sementara dengan ibu kandung dan tinggal dengan ibu tiri. Ini berlaku semasa aku di Darjah empat hingga tingkatan Satu. Semua cerita ini, aku rahsiakan dari keluarga aku. Terkadang saja ibuku ingin membuka cerita.

Zaman sudah berubah, dunia makin maju. Maka perlulah aku mendidik anakku mengikut zaman. Tapi, teknologi itu banyak melalaikan dan merosakkan anak zaman sekarang. Kredit untuk ibubapa yang dapat mendidik anak menjadi insan yang beriman, beramal soleh dan cemerlang dalam kehidupan. Bersabarlah untuk bapa yang seperti aku yang kurang serba serbi ini. Sesungguhnya kehidupan ini sangat kompleks, ada banyak benda yang berkaitan sana sini. Adakala kita terlepas pandang.

Dan bila sudah terlepas pandang, susah untuk kembali membetulkan keadaan. Ya, trailerku panjang, jika tersilap memulas stereng besaku ke jurang.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan batin. Moga latihan Ramadhan ini mencukupi untuk kekal amalan soleh sepanjang tahun.

No comments: