Friday, July 20, 2007

Tugasan SH3023 - Pengurusan Kerjaya

Date : 20.07.2007
Time : 21:54

Remark : Tugasan ini dibuat pada bulan Julai 2004 (Seperti biasa, akan ada ruang yang belum siap di dalam tugasan ini. Ini kerana yang telah siap tidak sempat dibuat salinan - 'last minute')

Teori Super ini, menurut Ryan dan Ryan (2001) lagi, mengenalpasti lima peringkat dalam kehidupan. Teori ini juga dikenali sebagai Teori Kitaran Hayat menurut Mohd Nazri (2004). Peringkat-peringkat dalam teori super ini menurut Ryan dan Ryan lagi ialah peringkat pertama merupakan peringkat pertumbuhan yang bermula dari dilahirkan sehingga umur 14 tahun. Pada peringkat ini, tingkat kemahiran, minat dan konsep kendiri akan terbangun melalui contoh-contoh dari keluarga dan sekolah. Pengalaman hidup akan menjadi tempat untuk mereka menguji ide dan tingkahlaku dan setelah melalui zaman kanak-kanak ke alam remaja minat, keperluan sosial, emosinal dan pendidikan semakin berkembang.
Peringkat kedua pula ialah peringkat penerokaan – exploration, di antara peringkat umur 15 hingga 24 tahun. Pada peringkat ini, seseorang itu menghabiskan masa menguji nilai diri, minat dan kebolehan. Keadaan persekitarannya akan membentuk dirinya untuk ia beraksi dan memegang peranan yang sepatutnya bila menjadi dewasa nanti. Seterusnya, peringkat ketiga ialah peringkat penstabilan – establishment yang berada dalam lingkungan umur 25 hingga 44 tahun. Pada peringkat ini, seseorang itu sudah menjumpai lapangan kerjaya yang selesa dan cuba kekal dengan kerjaya itu.
Seterusnya peringkat penyelenggaraan (maintenance stage) yang berada dalam linkungan umur 45 hingga 64 tahun, di mana pada peringkat ini seseorang itu telah mendapat tempat dalam dunia pekerjaan di mana ia bercadang untuk kekal. Tiada perubahan yang besar berlaku dalam peringkat peyelengaraan ini mengikut teori Super, dan kebanyakkan akan kekal dengan kerjayanya. Peringkat terakhir ialah peringkat penurunan (decline stage) , pada masa ini keadaan fizikal dan mental semakin lemah dan seseorang itu telah berundur daripada kerjaya mereka yang berlaku dalam lingkungan umur 65 tahun hingga akhir hayat.
Seterusnya terdapat model tahap pembinaan kerjaya yang dinatakan oleh DeCenzo (1997) yang terdiri dari lima peringkat dan hampir serupa dengan teori Donald Super tetapi terdapat sedikit kelainan dari jangkamasa lingkungan umur dan pada peringkat ketiga dinyatakan sebagai kerjaya pertengahan – mid career dan peringkat keempat sebagai kerjaya lewat – late career. Lima peringkat tersebut adalah seperti berikut :
(i) Peringkat pertama – exploration ( umur 0 hingga 25)
(ii) Peringkat kedua – establishment ( umur 25 hingga 35)
(iii) Peringkat ketiga – Mid career ( umur 35 hingga 50)
(iv) Peringkat keempat –Late career ( umur 50 hingga 70)
(v) Peringkat kelima – Decline ( umur 70 hingga akhir hayat)

1.0 Latar belakang Kerjaya diri sendiri dan Pembinaan Kerjaya diri.(10 ms)
1.1 Sejarah pendidikan dan peringkat pertama pembinaan kerjaya – exploration.

Penulis memulakan pendidikan awal pada tahun1973 di Sekolah kebangsaan Bumbong Lima, Kepala Batas, Pulau Pinang hingga tahun 1976 dan kemudian berpindah sekolah ke Sekolah Kebangsaan Teluk Medan, Bagan Serai, Perak hingga darjah enam. Oleh kerana penilaian peringkat darjah enam pada masa itu tidak sangat diambil berat keputusannya, jadi penulis sendiri tidak tahu pencapaian peperiksaan peringkat darjah enam pada masa itu.

Seterusnya menyambungkan pelajaran ke peringkat menengah di Sekolah Menengah Alang Iskandar, Bagan Serai, Perak setakat setahun sahaja dan kemudian memasuki tingkatan dua di Sekolah Menengah Pendang, Kedah sehingga tingkatan lima. Di sinilah bermulanya pencapaian yang agak baik dalam dua peperiksaan penting iaitu Sijil Rendah Pelajaran Malaysia(SRP) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), di mana penulis berjaya mendapat pangkat A 14 dalam SRP seperti di lampiran. Seterusnya ditawarkan menyambung pelajaran dalam aliran sains di sekolah yang sama. Menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun 1984 dengan keputusan pangkat kedua dan agregat 36. Mendapat kepujian dalam semua subjek sains dan matematik kecuali matematik tambahan dan juga Bahasa Malaysia.

Setelah itu memohon untuk melanjutkan pelajaran kebeberapa universiti dan kemudiannya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Pertanian Malaysia dalam jurusan Diploma Pertanian pada tahun 1985. Akhirnya pada tahun 1988 telah dianugerahkan Diploma Pertanian setelah berjaya menamatkan pengajian selama tiga tahun dengan putara matagred(PMK) 2.4. Setakat itu saja pengajian pada masa tersebut dan bermulalah memasuki alam pekerjaan selepas menamatkan pengajian peringkat diploma.


Setelah dua belas tahun masa berlalu setelah memperolehi diploma, dan pendapatan agak stabil di dalam kerjaya, maka pada tahun 2000 menyambung kembali pengajian secara jarak jauh dalam bidang Ijazah Pengurusan Perniagaan (BBA) dengan Universiti Utara Malaysia sehingga ke saat ini. Dijangka akan menamatkan pengajian pada bulan oktober tahun 2005.


1.2 Sejarah pekerjaan sebelum syarikat Tenaga Nasional Berhad, masih dalam peringkat expoloration (Umur 21 hingga 23)

Sebaik saja menamatkan pengajian peringkat diploma pada tahun 1988, penulis telah mencuba mendapatkan kerja yang sesuai dengan kelulusan yang ada dan disebabkan kemelesatan ekonomi pada masa itu, pekerjaan yang sesuai itu gagal diperolehi. Oleh itu, kerja yang mula diceburi ialah menjadi jurujual barangan perkakas rumah secara langsung dari rumah ke rumah dari bulan Oktober 1988 hingga Februari 1989 , seperti di lampiran resume penulis.

Kemudian pada bulan Jun 1989 , penulis mencuba kerja lain pula sebagai operator pengeluaran di sektor perkilangan, dengan harapan akan dapat menjawat jawatan sebagai penyelia di kilang itu. Bila hajat tidak kesampaian, maka bulan Disember 1989, penulis kembali memasuki kerja yang sesuai dengan kelulusan yang ada sebagai Penyelia Tapak Semaian, dan tetapi disebabkan gaji yang diberi berbanding dengan kerja yang memenatkan, maka sekali lagi penulis berhenti kerja dan memasuki kembali sektor perkilangan pada April 1990 dari satu kilang ke kilang yang lain dan akhirnya menjawat jawatan sebagai Penyelia Pelatih di kilang Leader Cable Industry Berhad sebelum memasuki syarikat Tenaga Nasional Berhad pada bulan Oktober 1991.

1.3 Kerjaya diri di dalam TNB dan haluan kerjaya . Peringkat kedua – Establisment.(Umur 24 hingga 36)

Memulakan perkhidmatan dengan syarikat Tenaga Nasional Berhad iaitu sebuah syarikat monopoli pembekalan tenaga elektrik yang terulung di Malaysia, pada 8 Oktober 1991 sebagai Kerani Kontrak. Di sinilah bermulanya kerjaya sebenarnya diri penulis yang menjadi peringkat penstabilan dalam pembinaan kerjaya penulis. Dengan pendapatan yang berbaloi ditambah lagi kenaikan gaji tahunan yang baik serta bonus di akhir tahun mejadikan penulis kekal bekerja di syarikat ini.

Setelah bekerja sebagai kerani kontrak selama dua tahun, maka penulis telah diserapkan ke jawatan tetap sebagai Kerani Tingkatan Biasa pada Oktober 1993 seperti surat tawaran di lampiran. Bermula dari itu, kerjaya penulis makin meningkat sehingga pada pada bulan Jun 1995, penulis telah ditawarkan mengikuti latihan bagi tujuan kenaikan pangkat sebagai Pentadbir Sistem selama tiga bulan. Setelah tamat latihan itu, penulis telah dinaikkan pangkat sekali lagi sebagai Pentadbir Sistem di pejabat yang sama iaitu di Kulim, Kedah.
Akhirnya pada bulan Ogos 1998,telah dinaikkan pangkat sebagai Ketua Pentadbir Sistem yang kekal sehingga ke hari ini. Pada peringkat ini, penulis tidak bercadang lagi untuk menukar tempat kerja, Cuma berusaha untuk menaikkan taraf pendidikan dengan mengikuti Pengajian secara Jarak Jauh bagi kursus Ijazah Pengurusan Perniagaan dengan Universiti Utara Malaysia. Sehingga kini , masih lagi meneruskan pengajian dan berada pada tahun empat. Dijangka akan menamatkan pengajian pada bulan Oktober 2005, iaitu lebih kurang setahun lagi. Seterusnya, penulis akan membentangkan perancangan dan peramalan yang boleh terjadi setelah penulis memiliki Ijazah nanti.


4.0 Perancangan dan Peramalan yang mungkin terjadi dalam kehidupan kerjaya diri.

4.1 Perancangan dan peramalan pada peringkat ketiga – Mid Career. (Umur 37 hingga 45)
Pada masa sekarang penulis berumur 36 tahun dan akan menamatkan pengajian peringkat ijazah ini setahun dari sekarang. Setelah memiliki ijazah nanti, menulis akan memohon jawatan peringkat pengurusan di syarikat di mana penulis sedang bekerja ini. Di syarikat ini, bidang jawatan dibahagikan kepada eksekutif dan bukan eksekutif. Pada bahagian bukan eksekutif jawatan tertinggi hanya setakat tingkatan tertinggi. Jika ingin, melepasi jawatan ini atau berkeinginan untuk pergi ke jawatan eksekutif seseorang pekerja itu mestilah sekurangnya memiliki kelulusan diploma dan yang ke atas serta hendaklah kelulusan itu yang diiktiraf oleh kerajaan.



Dari pengalaman yang lepas, adalah begitu mudah bagi pekerja di syarikat Tenaga Nasional Berhad ini untuk memohon dan mendapatkan jawatan eksekutif setelah memiliki diploma atau pun ijazah. Oleh itu, penulis menjangkakan setelah memperolehi ijazah pada bulan Oktober 2005, penulis akan terus memohon ke jawatan esekutif dan memperolehi jawatan itu selepas tiga bulan dari tarikh memohon. Ini kerana , penulis akan melalui proses ujian dan temuduga sebelum ditawarkan jawatan itu. Setelah menjawat jawatan itu nanti akan bermulalah kerjaya yang baru bagi diri penulis dan ganjaran pendapatan yang diperolehi pastinya meningkat dan begitu juga dengan faedah-faedah yang lain.

Dalam menjalani jawatan eksekutif itu nanti , penulis akan mencuba untuk meningkatkan diri dan mencapai kenaikan pangkat ke jawatang yang lebih tinggi. Ini kerana, penulis merasakan mempunyai banyak kelebihan sebagai seorang pekerja yang memulakan kerjayanya pada peringkat yang lebih rendah terlebih dahulu. Walau bagaimana pun matlamat penulis bukanlah ingin kekal di syarikat ini untuk selama-lamanya. Penulis sebenarnya telah menetapkan untuk bekerja sendiri satu masa nanti sebagai seorang usahawan dalam bidang teknologi maklumat dan pertanian berteknologi tinggi. Oleh itu, penulis akan membincangkan matlamat ini di dalam peringkat kerjaya lewat - late career.




4.2 Perancangan dan peramalan pada peringkat keempat – Late career (Umur 46 hingga 60)

Biasanya pada peringkat ini, kedudukan seseorang itu telah pun stabil baik dari segi emosi dan ekonomi diri. Maka pada peringkat ini penulis bercadang untuk menukar kerjaya dari bekerja makan gaji kepada bekerja sendiri. Penulis merasakan sudah memadai pengalaman kerja selama 24 tahun dari mula penulis menceburkan diri ke alam pekerjaan pada umur 21 tahun sehingga ke umur 45 tahun untuk penulis membebaskan diri dari bekerja dengan orang lain kepada bekerja sendiri. Pengalaman selama 10 tahun pada peringkat pengurusan pertengahan di Tenaga Nasional Berhad pasti akan dapat membantu penulis untuk berjaya menguruskan syarikat sendiri.

Alasan penulis untuk bekerja sendiri menubuhkan syarikat ialah seperti yang di nyatakan oleh Abu Bakar (2004): usahawan menubuhkan perniagaan bermatlamat untuk mendapat kekayaan ekonomi, memperolehi kepuasan diri di samping untuk menyediakan pekerjaan untuk diwarisi kepada anak-anak mereka. Dari pendapat ini penulis merasakan perlu untuk membuka peluang dan membina perniagaan yang dapat diwarisi kepada anak-anak dan membina generasi usahawan. Dari sini, diharapkan generasi penulis akan berminat bekerja sendiri dari bergantung kepada orang lain dengan kerja makan gaji. Selain itu, dari pembacaan diri didapati banyak pendapat yang menyarankan untuk bekerja sendiri bagi memaksimumkan pendapatan seperti pendapat Muhamad Salleh (2003) yang menyatakan jika bekerja makan gaji dan dibayar RM 30,000 sebulan berapakah pendapatnya setahun berbanding dengan ada yang memperolehi sesuatu projek yang bernilai berjuta-juta dan memperolehi keuntungan dari projek itu.

Oleh itu, bermula dari sekarang penulis akan menyediakan diri untuk menimba ilmu yang sebanyak-banyaknya samada melalui pembacaan atau kursus-kursus keusahawanan bagi menyediakan penulis untuk merebut peluang dalam bidang perniagaan. Perancangan penulis untuk bekerja dahulu dengan syarikat sekarang ini, adalah sebagai satu strategi bagi memahirkan diri dengan pengalaman pengurusan di samping untuk mendapat faedah graduati dari syarikat. Ini kerana pada tahap jawatan eksekutif, bagi pekerja yang bekerja melebihi lima tahun akan dibayar graduati apabila berhenti dari perkhidmatan dengan syarikat.

4.3 Perancangan dan peramalan pada peringkat kelima – Decline (umur 61 hingga akhir hayat)

Pada peringkat ini, kebanyakan individu itu telah bersara dari alam pekerjaan. Di Malaysia ini, khususnya kepada masyarakat melayu beragama islam, masa ini lebih ditumpukan kegiatan pada hal-hal keagamaaan dan kebajikan pada masyarakat setempat bagi mengumpulkan pahala untuk pembekalan selepas kematian itu nanti. Pada peringkat ini juga, penulis merasakan diri akan menjadi penasihat kepada generasi yang muda bagi memberi panduan kepada mereka untuk membentuk haluan kerjaya masing-masing. Pada diri penulis masa ini adalah sesuai untuk mencurahkan segala ilmu dan pengalaman yang ada kepada masyarakat dan generasi muda melalui penulisan buku, ceramah-ceramah dan seminar-seminar yang diadakan. Pada diri penulis yang tidak kedekut ilmu ini, merasakan pasti akan dapat banyak menyumbang kepada masyarakat dari segi pengalaman hidup untuk menjadi panduan kepada mereka.



5.0 Rumusan dan penutup.
Dari perbincangan dan penyataan yang telah dihuraikan dengan panjang lebar maka dapat dibuat rumusan bahawa kelima-lima peringkat dalam pembinaan kerjaya seseorang biasanya berlaku seperti yang telah dan akan terjadi kepada diri penulis. Cuma yang membezakan di antara seseorang dengan seseoarang yang lain ialah dari segi jangka masa umur disetiap peringkat yang mungkin berubah. Pada diri penulis yang menamatkan alam pengajian setakat peringkat diploma sahaja sudah tentu akan cepat memasuki alam pekerjaaan berbanding dengan mereka yang menamatkan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda atau pada peringkat yang lebih tinggi seperti sarjana dan doctor falsafah.

Selain dari itu, didapati organisasi atau syarikat di tempat seseorang itu bekerja akan banyak mempengaruhi haluan pembinaan kerjaya seseorang. Seperti apa yang berlaku pada penulis (rujuk lampiran), terdapat perkeliling yang dikeluarkan yang menunjukkan arah haluan kerjaya di setiap jawatan. Bermula dari peringkat rendah sehingga ke peringkat tertinggi telah ditunjukkan ke arah mana seseoarang itu boleh pergi, dan akhirnya didapati bahawa untuk naik ke peringkat pengurusan seperti Eksekutif Pentadbiran seseorang pekerja itu harus mempunyai kelulusan seperti diploma dan yang setaraf dengannya.

Akhirnya, apa yang pasti sesiapa yang merancang akan haluan pembinaan kerjayanya akan pasti atau setidaknya menghampiri matlamat kerjaya yang ia telah tetapkan atau sasarkan. Walau bagaimana pun, akan banyak faktor yang mempengaruhi minat, kemahiran, kecenderungan seseorang pada satu-satu masa yang berkemungkinan ia akan mengubah matlamat kerjayanya. Dan seperti kata ahli psikologi sesiapa yang tidak merancang, akan merancang untuk gagal.















Rujukan
Abu Bakar Hamed, Azahari Ramli, Mohd Salleh Din & Shahrol Aman Ahmad (2004). Keusahawan. Sintok: PACE, Universiti Utara Malaysia.
De Cenzo, David A. (1997). Human relations: Personal and professional development. New Jersey: Prentice Hall.
Mohd Nazri Baharom, Rozita Abdul Mutalib & Zalinah Ahmad (2004). Pengurusan kerjaya. Sintok: PACE, Universiti Utara Malaysia.
Muhamad Salleh Majid (2003). Budaya keusahawanan. Kuala Lumpur: Utusan Publications & Distributions.
Ryan, J. & Ryan, R.(2001). Career success: A lifetime investment. Canada: South-Western.

Lampiran:

- Perkeliling halatuju kerjaya dalam TNB.
- Surat permohonan melanjutkan pelajaran
- Surat tawaran pekerjaan dan kenaikan pangkat
- Sijil-sijil kelulusan

No comments: