Friday, September 26, 2008

Tazkirah untuk diri

Dulu aku sering melarikan diri. Keluar jemaah, masuk hutan. Turun sungai atau pantai dan kadang-kadang dipanggil kursus ke luar daerah.

Sekarang aku telah terikat. Aku tidak dapat ke mana-mana lagi. Gerabak aku telah panjang, aku tidak boleh silap memandu. Nanti semua akan tergelincir. Hukumannya akan jatuh atas kepala aku jugak.

Untung ada laman blog yang boleh aku kunjungi. Di sana dapat aku keluar dari diriku dan cuba menghayati kehidupan orang lain. Di sana, ramai yang bahagia, tidak kurang juga yang menderita. Ada yang bahagia dengan bisnes penerbitannya, ada yang bahagia dengan universiti dan bukunya, ada yang bahagia kerana ilmu agamanya, ada yang bahagia kerana dapat menulis dalam blognya dan ada yang bahagia dengan keluarga masing-masing. Derita!, adalah seorang dua. Lebih banyak yang berbahagia.

Itu saja yang mampu aku lakukan. Dulu aku pernah memasuki kehidupan orang lain. Ada orang yang ‘menumpang menyandarkan bahu’ – untung aku tidak terperangkap lama dan selamat keluar. Aku tahu di luar sana, ramai lelaki yang telah terperangkap, ada yang dapat keluar dan ada yang tidak.

Sekarang aku tidak berani lagi memasuki kehidupan orang lain. Banyak perkara yang aku tidak diberi pengetahuan tentang apa yang tersirat atau hikmah yang berlaku. Sedangkan keluarga sendiri pun aku masih mencari jawapan. Kenapa dia begitu begini, sedang aku tidak. Kenapa dia buat perangai tidak elok, sedangkan aku dulu tidak. Baliknya aku jugak yang kena tanggung, kurang beri kasih sayang.

Sekarang, aku kena belajar berkasih sayang dan menumpukan perhatian.Tapi, bolehkah aku menelan semua kepahitan dan memberinya gula atau madu setelah apa yang dia lakukan selama berapa bulan kebelakangan ini. Aku sekarang tidak boleh berdendam.

Walau pun aku tidak berbapa diusia kecilku, aku tidak boleh menghukumkan anak-anakku. Tapi, sukar menjadi bapa bila tiada berbapa. Aku hanya berbapa sekadar lingkungan tiga tahun. Itu pun aku sendiri memilihnya untuk merasai kasih sayang bapa, walau terpaksa berpisah sementara dengan ibu kandung dan tinggal dengan ibu tiri. Ini berlaku semasa aku di Darjah empat hingga tingkatan Satu. Semua cerita ini, aku rahsiakan dari keluarga aku. Terkadang saja ibuku ingin membuka cerita.

Zaman sudah berubah, dunia makin maju. Maka perlulah aku mendidik anakku mengikut zaman. Tapi, teknologi itu banyak melalaikan dan merosakkan anak zaman sekarang. Kredit untuk ibubapa yang dapat mendidik anak menjadi insan yang beriman, beramal soleh dan cemerlang dalam kehidupan. Bersabarlah untuk bapa yang seperti aku yang kurang serba serbi ini. Sesungguhnya kehidupan ini sangat kompleks, ada banyak benda yang berkaitan sana sini. Adakala kita terlepas pandang.

Dan bila sudah terlepas pandang, susah untuk kembali membetulkan keadaan. Ya, trailerku panjang, jika tersilap memulas stereng besaku ke jurang.

Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan batin. Moga latihan Ramadhan ini mencukupi untuk kekal amalan soleh sepanjang tahun.

Wednesday, September 24, 2008

C#

Semalam sebelum ke kelas C#(baca C sharp) ini aku sangat keletihan. Dalam perjalanan pulang untuk ke kelas, berhenti tidur sekejap di Hentian Nilai. Geng Bomba sudah mula stand-by di Lebuhraya. Ada dua kereta dan motor bomba di situ. Betul sungguh letih aku, sehinggakan kemalangan berdekatan susur keluar depan itu pun aku tidak sedar. Motor terbakar di tengah divider lebuhraya. Geng motor bomba bertungkus lumus memadamkan kebakaran. Aku tidak berhenti untuk melihat dengan lebih lanjut. Tak tahu apa jadi kepada penunggang motorsikal itu.

Petang itu kami (Aku dan Combi dari PD) menerima guru baru, Puan Nur. Tidak ada sesi kenal-mengenal. Kami diajar macam orang pandai(akhir kelas cikgu sudah tahu kami budak pandai, seorang dah ada diploma dan seorang lagi degree). Terpaksa mengaku faham walau pun tak faham apa. Sambung bab 2, struct, boxing dan unboxing. Dan masuk bab3, lagi pening – looping, do, so-while, for dan while. Kata guruku, ini subject yang paling core dan susah sekali. Ini baru permulaan, bab seterusnya lagi mencabar.

Rehat buka puasa sejam, aku tidak pulang berbuka puasa di rumah seperti kebiasaan yang dilakukan. Berbuka di Cafe Kolej sahaja. Makan apa yang ada sekadarnya. Sambung kelas jam 8 malam dan latihan praktikal tulis dan run coding. Nampaknya guru aku ini masih merangkak untuk menjayakan programming ini. Bantuan anak murid diperlukan. Kelas tamat jam 9.30 dan satu kuiz bawa pulang dan esok hantar kena disiapkan.

Pulang kelas letih habis, anak bongsu ajak layan pi kedai pun bo layan. Terus tidur. Solat Isyak sebelum sahur.

Sebagai komitmen untuk subjek ini, aku telah meminjam buku C# dari pustakaan UNITEN sebagai rujukan tambahan dan bercadang untuk belajar stail degree. Prepare before ke kelas and the sesi kelas lebih kepada menambah kefahaman dan menyelesaikan kemusykilan. Bukan lagi nak tunggu cikgu ajar satu-satu. Dan juga tak lupa pada Combi, perlu heret dia sama dalam gaya pembelajaran ini.

Juga bersedia untuk memperuntukkan lebih masa 2-3 jam sehari untuk main-main dengan bahasa programman ini. Bercadang untuk bercuti lebih kerap pada hari Selasa atau Rabu sebagai persediaan ke kelas atau ulangkaji selepas kelas.

Nota:
Ini adalah tulisan untuk memotivasi diri untuk menempuh cabaran bahasa programman C#.

Tuesday, September 23, 2008

Ibu

Semalam, setelah bank-in duit ke akaun mak:

"Mak, Cek dah masuk duit dalam akaun Bank Islam mak tak sat, RMXXX cukup kot mak nu?"

"Tak pa lah tu, hangpa pun nak belanja raya jugak" dan "bla bla bla, adik hang nu, bla bla.. ikan pekasam, mak mertua hang ni, bla bla.. demam bla bla.."

"Ok la mak, kami tak balik raya tahun ni, minta maaf banyak-banyak la mak"

"Mak pun serupa lah jugak"

Setiap kali dapat duit lebih aku pasti tidak lupa untuk memberikan wang kepada ibuku. Begitu jugalah kali ini. Apabila majikan aku mengumumkan bonus 0.45 gaji, aku sudah awal-awal lagi memberitahu perkara ini kepada ibuku. Dan semalam aku melaksanakannya.

dan begitu jugalah pada setiap kali gaji..

"Alaa..hang bagi buat apa, hangpa pun tak cukup."

"Tak pa, ambik dulu, nanti kira lain."

Kadang-kadang juga, ibuku ini menjadi banker untuk kami.

"Awat yang hang bagi banyak sangat ni?'

"Bayaq hutang kat mak, dulu yang cek dok pinjam."

"Mak tak ingat apa dah aih, dah halal dah.."

"Tak boleh la mak, hutang kena la kira hutang."

Dan tahun ini, adalah tahun yang buat pertama kalinya kami sekeluarga tidak beraya di kampung. Mak mertua sudah demam. Biasa terjadi sebelum ini, apabila kami lama tidak balik kampung semasa di Kulim dulu. Bila saja kami sampai balik, dengan tiba-tiba demam itu pun hilang.

Tidak susah untuk memahami orang tua-tua. Semenjak kematian bapa mertua aku dalam tahun 1992, aku belajar memahami orang tua. Melayan tabiat, mendengar cakap dan berdamping dengan mereka. Tidak lagi bantah-menbantah, bila apa yang dicakapkan tidak selari dengan pendapat diri.

Dan kemudian, seorang demi seorang pergi menemui Ilahi. Pastinya tidak kembali lagi. Tapi, aku tidak sudah terkilan lagi. Redha dengan pemergian mereka kerana aku telah melayan mereka dengan selayaknya. Ayah mertua, nenek mertua, Tok Wan dan bapa saudara sebelah perempuan, silih setahun dua kembali ke pangkuanNya. Al-Fatihah..

Friday, September 12, 2008

Gerak pantas

Gerak pantas ini lebih kurang sama dengan gerak-gerak khas. Perlu ada pelan, taktik atau strategi dan misi yang hendah dicapai. Perlu ada latihan cuba dan jaya. Perlu buat analisis SWOT macam team SWAT kat US jugak. Dan akhir sekali bab orang kita lemah sikit ini, ialah bab hendak menyediakan paper work. Atau orang Biz panggil Pelan Bisnes.

Bercakap bab buat Bisnes Plan ni, masa aku mengaji dulu inilah perkara yang antara paling mencabar yang aku kena buat. Projek Ternak Ayam kos RM 2 juta . Besar giler projek tu. Satu team lima orang, aku seorang saja jantan dan depa lantik aku jadi Pengurus Besar, gaji RM5k . Maka, banyaklah kerja kami kena buat. Lawat tapak, buat market survey, cari supplier dan lantik konsultan. Macam real punya. Ya la, paper nak submit kat AgroBank( dulu Bank Pertanian) dah tu nak pinjam pulak 1.5 juta. Wahasilnya, projek kami dikira berjaya dan pensyarah memberi markah A- untuk paper kami.

Tapi bukannya bab biz plan yang aku nak tulis ni. Sebenarnya nak cerita bab gerak pantas. Sekarang ini udah masuk bulan 9, dah 10 bulan aku ngan famili berhijrah ke sini. Antara matlamat ke sini ialah nak buat duit, tapi sehingga sekarang tak nampak lagi duit yang dikatakan banyak berada di Lembah Emas ini. Itulah, kena bergerak pantas sekarang ini. Nampak saja peluang tangkap, cuba dan jaya. Tak jadi, cari lagi. Nak cari emas noo, bukan senang. Kena korek-korek, ayak-ayak. Baru la nak nampak mas seciput. Itu pun kalau tempat tu ada emas lah. Tapi kalau dah sure banyak emas, siap kapal korek le. Tak main nak dulang-dulang lagi.

Mengikut sejarah hidup aku, biasanya aku buat projek ini hujung tahun dan melalut sampai awal tahun berikutnya. Pada masa itu, duit pun banyak sikit. Bonus sana, bonus sini. Ye lah, kalau tak dak duit nak buat projek apa. Projek anak, boleh la kot.

Hendak bergerak pantas ni perlu ada booster, kena ada trek yang betul. Kalau kat jalan biasa ni, camna nak lari 200 km/j. Kalu tak masuk parit, langgar pokok, kalau tak pun masuk kubur terus. Kalau highway lain lah. Suasana tu kena sesuai, kalau tak ada keadaan macam tu, kita create lah sendiri. Barulah kita berada dalam keadaan good condition. Nanti sambung lain, nak pi solat Jumaat dulu..

Wednesday, September 10, 2008

200 KM/J

Aku bercita-cita laju(tinggi). Sekarang ini mesin yang aku tunggani hanya mampu bergerak maksima 110 km/j. Masa perjalanan sehala untuk datang ke tempat kerja ialah 50 minit sejauh 60 km. Atas lebuhraya 50 km selama 30 minit. Puratanya 100 km/j atas highway.

Jika aku dapat mencari mesin yang bergerak selaju 200 km/j di atas highway, bayangkan betapa pantasnya dapat aku sampai ke destinasi. Atau pun lagi cepat aku ke alam kubur.

Berapa koskah yang perlu aku bayar untuk mendapatkan mesin ini? RM15 K atau RM30 K atau mau lebih lagi. Kos nak bela lagi. Ek er.

Pesananku , jika kamu memejut laju di Lebuhraya, jangan hendaknya kereta Pak menteri pula kamu potong. Nanti diharamkan jentera kamu dari bergerak di atas jalannya. Seperti yang pernah berlaku pada mantan Menteri Kerjaraya sebelum ini.

Moral cita-cita : Tidak salah bercita-cita tinggi, yang salahnya tidak bercita-cita langsung maupun untuk dunia waima akhirat. Maka, jadilah kita terawang-awang antara langit dan dunia. Sepertinya roh yang menanggung hutang.
Merah dan hijau, mana satu pilihan hatiku. Atau wa, kekal dengan yang biru.

Tuesday, September 09, 2008

Pelarian

Dulu semasa aku di Kulim, ada jiran depan rumah tu, berhijrah jauh dari KL ke Kulim, kenapa ya, rupa-rupanya mereka melarikan diri dari Bank..kerna hutang Kad Kredit yang tidak dapat dibayar. Tidaklah banyak, hanya 10K je berbanding aku, 7 kali ganda dari itu.

Sebenarnya bukan aku hendak cerita pasal jiran aku sangat (pinjam bahasa kesukaan bro hcj)..aku nak cerita pasal aku. Macam jiran aku ni jugak, aku pun semacam melarikan diri ke sini (N9). Yah..kerna hutang jua, kerna kad kredit juga. Tapi hutang itu,bukan aku tak bayar langsung, ya lah..bayar ikut suka aku.

Dan tadi sebentar, BICC ada call,

”En. Z ni ke? Saya dari BICC, En. Boleh tak bayar lagi RMXXX.”

”Boleh..gaji ni.”

”En. Bayar RMXXX ye?”

”Ya”

”Terima kasih, Assalamualaikum,”

”Waalaikumussalam w.b.t”.

Itulah, jika aku nak angkat henpon. Jika tidak biarlah saja..Tapi, kebelakangan pangilan ini makin berkurangan. Mungkin mereka sudah tidak larat lagi nak call. Minta lawyer pulak uruskan kot. Oleh kerna kurangnya call, nanti aku akan bayar semua hutang itu, tidak le semua sekali gus. Ciput-ciput gitu, sana sikit, sini sikit, janji Den bayor, jangan tak bayor. Kalu mati susah loo.. Roh tak sampai langit.

Pelarian aku ke sini, mendamaikan buat seketika. Jika di sana, berpucuk-pucuk surat ’cinta’ yang akan aku terima setiap hari. Ada yang datang terus ke rumah, ada yang ke ofis lama aku. Dan, sekarang ini pun begitu juga. Entah apa yang kawan-kawan aku di sana buat dengan surat itu pun aku tak tau. Mungkin mereka jual kira timbang kilo. Di sini, tiada gangguan surat-surat itu semua. Sebabnya, alamatnya belum ubah dong.

Akhir sekali, banyak punya banyaknya hutang aku ini, sampai AKPK pun tak boleh nak tolong. Orang sini cakap, ”tak dapat den nak nolong eh.”

p/s: pesanan dari penaja..janganlah kamu bagi hutang kat budak ni. Jangan dan ulang siaran.. Jangan sekali-kali (banyak kali tak pe). Tapi kalu nak menderma boleh le. Alhamdulillah..

Friday, September 05, 2008

Peperiksaan

Esok sepatutnya aku menghadiri peperiksaan Pengajian Sijil Usuluddin Modul 2, tapi apakan daya yurannya tidak dapat aku sempurnakan. Walau persediaan telah dibuat, membaca, mengulangkaji dan membuat summary tanpa membayar yuran sepenuhnya tentu aku akan dihalang dari menduduki peperiksaan ini. Biarlah dulu, nanti aku akan ulang ambil semula. Pengajian akan datang, buat Modul 3 pulak. Masih dengan MAINS.

Pengajian IT (Kejuruteraan Perisian) di Cosmopoint Seremban, sedang berjalan lancar. Minggu depan, kelas semester lapan akan bermula. Semester ini aku dapat ambil tiga subjek, satu subjek baru (OOP2 – C#) dan dua lagi subjek yang aku kantoikan semasa semester 5( Web dan Malaysian Studies). Peperiksaan yang lepas untuk OOP1-Java, rasanya boleh skor A. Samada A campur atau tolak atau tiada campur tolak, tapi pastinya cemerlang. Carry mark saja pun sudah ada 56/60. Pastinya jika aku masih di Cosmopoint Penang akan dicemburui oleh kawan-kawan.

Cerita pasal kantoi semester 5 tu ialah kerna aku tak diberi notebook. Notebook ini sepatutnya aku dapat dari Cosmopint Penang. Entah apa sandiwara yang dimainkan aku dicicirkan dari mendapat benda ni. Frust giler (cakap budak sekarang). Sebagai tanda protes maka aku tidak hadir ke semua peperiksaan akhir pada semester itu. Padan muka aku dan padan muka depa. Wahasilnya semester tu, satu point pun aku tak dapat. Entah camna pun tak tau aku berubah fikiran dan dalam masa yang sama aku pun telah pindakh ke area Seremban, maka tak jadilah aku nak kantoi terus. Nasib baik juga lah aku punya CGPA strong. Jika tidak habis la pengajian aku kat Cosmopoint ini.

Tolak semester ini ada lagi tujuh subjek yang perlu diambil. Kalau tiada aral, tahun 2010 habislah. InsyaAllah.

Wednesday, September 03, 2008

Penilaian Prestasi

Musim ini tiba lagi. Tiada persediaan yang aku buat. Biar jika ada ribut pun mau melanda.

Jaga tempat ini seorang diri, tidak dihargai. Tadi, baru sebentar dia datang lagi. Jika kamu mahu EE( Exceed expectation), sila kemukakan bukti. Markah instructed job 25%. Entah bila wujud, aku pun tak tahu. Maka aku pilih yang senang, ME (meet expectation) sahaja. Tidak perlu cari bukti, tidak perlu justifikasi dan declare apa-apa. Jika mau EE, tahu depan sahaja. Bolehlah aku menconggak strategi.

Tahun ini biarlah berlalu pergi atau aku yang pergi dari tempat ini. Atau biar bersilih ganti. Ini kerna aku tidak dihargai di sini.

p/s: skor paling rendah NI(need improvement), tahun depan mula lima tingkat skor. Paling rendah..tak ingat. Paling tinggi..role model.

Tuesday, September 02, 2008

Ucapan Selamat Menyambut Puasa 2008

Aku menerima sms dari Bos aku (dihantar pada 31 Ogos jam 10:39 pm) :-

AL-Ghazali:"Yang Jauh itu WAKTU, yang dekat itu MATI, yang besar itu NAFSU, yang berat itu AMANAH, yang mudah itu BERBUAT DOSA, yang panjang itu AMAL SOLEH dan yang indah itu SALING MEMAAFKAN."

Selamat menunaikan ibadah puasa Ramadhan dan solat sunat Terawih kepada semua.