Thursday, October 30, 2008

Anak Angkat

Semenjak dua menjak anak sulongku membuat masalah, kami(aku dan isteri) ditemukan dengan anak angkat tidak rasmi. Anak-anak ini merupakan kawan-kawan kepada anak sulongku. Ada yang sama tingkatan tetapi dikelas tercorot dan ada yang kurang satu tingkat. Semuanya di sekolah yang sama.

Mereka ini dari keluarga yang kekurangan dari banyak segi. Ada yang miskin, peniaga pasar malam dan ada yang baru dua bulan kematian bapa. Masing-masing seolah-olah dahagakan kasih-sayang dan keadaan yang lebih selesa..

Mereka ini mula berkampung di rumah kami setelah anak sulongku berkrisis dengan guru di sekolah pada hari Selasa dua minggu lepas. Wahasil dari itu, si sulong ini kena gantung sekolah lagi, dua minggu. Pada hari kejadian mereka ini membantu mencari si sulong ini yang telah menghilangkan diri pada hari itu. Kemudian pulang ke rumah bila sudah larut malam.

Semalam, bila aku pulang ke rumah yang agak lewat(10:30pm), mereka sudah ada di rumah. Menonton DVD dan borak-borak. Aku hanya menyapa mereka dan kemudian buat hal sendiri. Tidak aku tahu pulak jam berapa mereka pulang ke rumah, melainkan esok hari setelah mendapat laporan dari isteriku. Biasanya jam 12 tengah malam dan kadang terbabas ke jam 1.00 pagi. Kami telah menetapkan peraturan supaya mereka berada di rumah ini sehingga jam 12:00 malam sahaja. Selepas jam itu mereka boleh pulang atau jika ingin tidur di sini, silalah masuk tidur. Ini bagi memberi peluang untuk si sulong ini, bangun awal esok pagi dan kemudian dapatlah dia membaca buku.

Kami cuba melihat hikmah disebalik kejadian ini. Seolah-olah tuhan ingin memberitahu, lihatlah ada yang lebih teruk keadaan dari anak sulongmu. Tetapi, ibu atau ibu bapa mereka tidak menganggap mereka bermasalah. Mereka tidak perlu pun dipaksa membaca buku atau ke kelas tuisyen, waima ke sekolah pun. Mereka bebas pulang ke rumah bila-bila masa sahaja. Tidak kisah, kalau tak nak pulang pun. Mereka tidak perlu dipaksa untuk bangun bersolat subuh. Tidak solat langsung pun tiada siapa yang peduli. Cuma kelebihan mereka ialah sangat beradab dengan ibu bapa dan orang tua-tua.

Atau mungkin, oleh kerana kami tidak mahir mendidik anak sulong ini, maka ditambah lagi anak-anak yang sebaya dengannya supaya kami dapat mengasah bakat dan meningkatkan skil dalam mendidik anak.

Kami juga terasa diberi peluang untuk menjadi pendakwah. Sekarang sedang mencuba mencari pendekatan apa yang boleh digunakan ke atas mereka ini supaya dapat dijinakkan hati untuk mengamalkan amalan utama dalam agama, solat lima waktu. Kami masih memikirkan dan mungkin boleh dicuba dengan mengajar membaca al-Quran terlebih dulu. Kemudian baru boleh ditingkatkan kepada amalan yang lain.

Ia, kami sedang mencuba ini dan itu, kemudian boleh dilihat apa hasilnya. Doakan semoga kami berjaya.

Memohon:
Ya Allah, mohon diberi rezeki yang banyak dan yang berkaitan dengannya.

Ya Allah, kami memohon dijauhi dari mala petaka dan yang seumpamanya.

Ya Allah, kami memohon dijauhi dari perbuatan zina dan juga dijauhi dari punca mendekatinya.

Ya Allah, kami memohon kesihatan tubuh badan, fikiran dan amalan serta dihindari dari amalan yang membawa kepada keburukannya.

Ya Allah, kami memohon menjadikan anak-anak kami termasuk anak yang nama lain(anak angkat, anak saudara dan sebagainya) sebagai anak yang soleh dan solehah serta diberi kekuatan dan kemahiran untuk menjayakannya.

Amin Ya Rabbal Aa'lamin.

Wednesday, October 29, 2008

Hari Rabu - sisi gelapku

Seperjalanan ku ke tempat kerja pagi ini, berlaku dua kemalangan kereta terbabas. Satu masuk longkang dan satu lagi dua tayar naik atas di dua tempat yang berasingan. Masih segar-bugar. Kereta yang tayar naik atas, orang pun masih ada dalam kereta. Aku hanya mampu memerhatikan dan berdoa semuanya selamat. Tidaklah dapat aku menolong apa-apa kerana masa spare ku tiada. Inilah sisi hitam dalam kehidupan harianku yang sekali-sekala dikejutkan dengan kejadian yang sebegini.

"Ya Allah, jauhilah hambamu ini dari sekalian bala dan musibah".

Jika aku dikejutkan dengan kejadian sebegini yang biasa terjadi di sepanjang laluan perjalananku, kepada tuhanlah aku kembali. Amalan rutin yang agak lama ditinggalkan kembali diamalkan. Kitab yang sedang dibaca tetapi lama hari tidak dibaca, kembali dibaca.

Petikan Kitab mukasurat 118:

"Zikir (Mengingati Allah)


Buah keimanan yang pertama ialah mengingati Allah S.W.T. Saya terbaca kisah seorang salih. Dia mempunyai seorang bapa saudara yang kuat beribadat yang selalu didampingi. Dia bertanya:"Wahai pakcik, apakah yang sepatutnya saya lakukan supaya menjadi seperti engkau?" Dia menjawab:"Sebutlah tiga kali setiap hari "Sesungguhnya Allah S.W.T. memerhatikanku, Sesungguhnya Allah S.W.T. melihat apa yang aku lakukan."

Lalu lelaki salih tersebut mengamalkannya selama seminggu. Kemudian bapa saudaranya menyuruh supaya menyebutkannya tiga kali selepas setiap sembahyang, lalu dia mengamalkannya. Selepas seminggu dia menyuruhnya pula agar menyebut dengan hatinya, bukan dengan lidah. Akhirnya zikir itu menjadi kebiasaan kepadanya sehingga dia sentiasa mengingati Allah S.W.T.."

Selepas solat Zuhur di Masjid di sini, kembali aku membaca al-Quran. Mengikut buku catatan kecilku, bacaan terakhir pada 15 Oktober yang lalu dan sudah 12 hari aku tidak membaca al-Quran. Maka Surah Mariam pun kembali dibaca, bermula ayat 22 hingga tamat ayat 98. Jumlah helai dua setengah dan masa 15 minit. Itulah standard setiap kali aku membaca al-Quran.

Sebenarnya aku hanya meletakkan target sehelai sehari untuk membaca al-Quran. Perkiraanku, 10 helai bersamaan satu juzuk, 300 helai = 30 juzuk = 10 bulan. Dua bulan lagi reserve untuk bulan puasa dan syawal bagi menghabiskan lagi 30 juzuk. Jadi setahun lepaslah aku dari tuntutan al-Quran yang menghendaki khatam dua kali setahun.

Tapi apakan daya, sepatutnya telah habis khatam bulan ini dan aku masih dipertengahan juzuk(juz16). Maka perlu aku melibatkan daya usaha kepada 2 1/2 helai sehari yang bersamaan lebih kurang dua a'in. Pembacaanku juga selari dengan terjemahan yang telah ada siap dalam bentuk softcopy format pdf dalam pc. Kadang aku membaca terjemahan dulu dan kadang kemudian.

Inilah cara aku mengurangkan atau menghilangkan terus sisi hitam dalam hidup ini. Ada lagi rutin yang teralpa yang perlu diamalkan kembali.
Dan sesungguhnya...

Kehidupan dunia hanyalah sementara dan akhiratlah yang kekal abadi.

Thursday, October 23, 2008

Hujan

"Mai secawaen.."

Hampir setiap petang hujan turun, kadang lebat, kadang-kala rintik-rintik. Bila hujan lebat dan aku ada kelas petang, maka terpaksa juga ku redahi hujan ini. Jika tidak, ku tunggu hingga hujan pun reda, baru aku beransur pulang. Masa yang terluang itu diisi dengan bermain ping-pong kat ofis sini.

Isnin yang lalu, aku pontengi kelas web disebabkan hujan yang lebat ini. Kan dah basuh kuyup, hingga ke pakaian dalam pun basah. Jadi terus balik rumah, dah hilang mood nak pi kelas. Esok pulak bila pi kelas OOP2, member bagi soalan mid-term sem-sem lepas. Cikgu cakap, "nape tak datang, semalam kami review soalan sem lepas. Hari Sabtu ni datang tau, jam 10 ada kelas tambahan. Nak review soalan lagi." Hari Isnin takde kelas, cuti Deepavali. Lepas tu dah nak exam.

Pagi tadi hujan rintik-rintik juga, tapi area Senawang sajalah. Lepas tu, dah tiada hujan. Bila hujan ni kan, tentu aku kesejukkan, biasanya pekena "mai secawaen.." tapi cap Ali Cafe bukan cap HPA. Bukan apa, buat memanaskan badan. Sejak tiga hari lepas jugak, balik dari kerja dan kena hujan, aku kena Panadol sebijik + "mai secawaen..". Tahan la badan sikit, kureng le nak beringus hidung.

Petang ni kelas MS pulak. Aduss letih rasanya. Minggu lepas sesi pertama nak habis, baru aku masuk. Ini disebabkan hujan yang teramat lebat. Tunggu hujan reda, baru nak gerak. Sekarang ni dah mendung, kejap lagi hujan le tu. Sape ada ilmu mengelak ke, mengalih hujan ke, bagi mai sat.

Wednesday, October 22, 2008

Monday, October 20, 2008

Ke Pantai PD lagi

Semalam kami ke Pantai Teluk Kemang, PD sekali lagi. Kali ini kali kedua sekeluarga, tolak yang sulong kami ke sana, semenjak kami tinggal di Seremban ini. Sebelum ini pun sudah banyak kali kami ke sana dan sudah lupa kat mana kami parking dulu.

Kereta dan tong sampah
ABC Port Dickson RM3
View right side
View left side

Panorama Pantai PD Buat Rumah Ketam

Tidak dirancang pun. Sengaja untuk menceriakan keadaan dan mungkin melarikan diri sekejap dari masalah yang ada. Masalah ini masalah biasa anak sulongku. Hari sabtu dia kalut nak pergi konsert gig kat Stadium Bukit Jalil, macam-macam taktik yang kami atur bersama dengan abang angkatnya untuk mengagalkan dia ke sana. Berjayalah sudah. Tapi, hari sabtu itu jugak aku terpaksa melarikan motorsikal aku ke Jusco Seremban 2 atas alasan ’kerja’. Mereka berpakat untuk meminjam motor itu ke Ulu Bendung pulak. Melepak aku kat kedai buku dalam kompleks itu sepetang. Balik rumah, lari lagi. Ke Store pulak di Ampangan, bawa semua famili tolak yang sulonglah. Pusing-pusing The Store sampai dekat nak tutup dan berhenti pekena air A&W seorang secawan dan balik.

Masjid Telok Kemang

Baca kitab lah, bini aku.


Itulah petang semalam lari pulak ke PD. Anak-anak seronok giler, dari rumah lagi dah siap pakai baju untuk mandi laut. Sampai saja kat sana, tarik handbrake,terus depa lari terjun laut. Berendam sampai ke petang. Lapar, naik makan. Cari anak ketam, jumpa obor-obor tangkap dan main. 6:30 petang baru balik, turun sana sebelum asar lagi.


Sampai rumah, hujan teramat lebatnya. Jalan pun naik air, tidak boleh lalu. Sungai longkang penuh air hingga melimpah ke tebing. Malam, asyik tengok air banjirlah pulak. Jiran sebelah rumah pun dah berpindah ke rumah yang ke dalam sikit. Tolonglah dia angkat barang ke rumah barunya. Buat masa sekarang rumah sebelah sunyi sepi. Adus, kesian anakku, sudah hilang kawan-kawan dan kucing jiran yang selalu melepak kat rumahku.
Itulah cerita dua hari dua malam semalam.

Orang terbang

Wednesday, October 15, 2008

Seruan kali ke 2 untuk buat Master

Seruan pertama di sini.

Semalam kawan aku menyeru untuk buat Master bersama dengannya. Macam-macam lah motivasi yang diberikannya. Master yang dia buat ialah Pengurusan Sumber Manusia (HRM) dengan UUM di City Campus KL.

Kuliah sebulan sekali untuk satu paper dan memakan masa enam jam untuk sekali pertemuan. Pendaftaran telah beliau buat pada hari sabtu lepas dan kuliah akan bermula minggu depan. Semester ini beliau mendaftar dua paper sahaja iaitu HRM (Human Resouces Management) dan OB (Organization Behavior).

Setiap satu paper satu pertemuan setiap minggu, jadi beliau ada dua kali sebulan untuk dua paper ini. Jumlah semua paper ialah 12. Jadi beliau bercadang untuk ambil dua paper semester ini dan kemudian tiga paper semester depan. Begitulah seterusnya untuk tahun depan. Dua tahun setengah boleh lah habis 12 paper ini.

Stail belajar Master ini kata beliau, kadang tiada final exam. Kalau exam pun kadang boleh take home, kadang open book dan satu lagi macam biasa buat dalam dewan. Lagi, banyak tugasan dan presentation. Tugasan pun ada dibuat dalam bentuk kumpulan. Bahasa pengantar yang digunakan biasanya bahasa Inggeris, tapi ada juga campur bahasa melayu.

Berbalik pada aku, aku cadang hendak buat Master Pengurusan (MM) dengan UPM dan Major IT. Tapi tunggu habis Diploma IT ini dululah tahun depan. Kenapakah aku memilih UPM dan jenis Master ini. Pertamanya aku ingin mencari bidang kepakaran yang tersendiri. Dari penelitian terhadap semua universiti yang menawarkan master, inilah gabungan subjek yang terbaik yang aku rasakan. Kedua, aku ingin akses kepada maklumat mengenai bidang pertanian di universiti ini. Walaupun aku juga berminat untuk membuat master dalam bidang pertanian tetapi tiada master yang mempunyai gabungan seperti ini contoh Master Pengurusan dan Major Pertanian. Yang ada ialah Master Pengurusan Perladangan. Ladang apa yang aku hendak urus, kerja pun dalam bidang IT. Akhirnya, aku lebih suka belajar di dalam kampus universiti itu sendiri berbanding dengan cawangannya. Ini bagi mendapatkan suasana belajar di universiti dan mendapat bau dan aura yang harum lagi semerbak di universiti ini. Dulu pun pernah aku berada di sana selama tiga tahun(1985 -1988).



Jadi di sini disenaraikan subjek yang ditawarkan untuk master ini.

1. Organization and Bussines Management
2. Organization Behavior
3. Operation Management
4. Marketing Management
5. Accounting for Decision making
6. Financial Management
7. Strategic Management
8. E-Commerce
9. Web Technology
10. System Anaylisis and Design
11. Software Engeneering
12. Software Project Management

Aku cadang ambil tiga subjek untuk satu semester dengan gabungan dua subjek pengurusan dan satu subjek IT. Jadi, dua tahun boleh habis. Kos yurannya ialah RM15,690.00

Harap dimakbulkan tuhan impian aku ini. InsyaAllah.

Monday, October 13, 2008

Basuh anak

Semalam dalam perjalanan menghantar anak sulongku ke tempat tuisyen sempat aku mem’basuh’ minda anakku. Mengingati dia tentang SPM yang hanya tinggal 20 hari lagi. Berhenti enjoy, tumpukan kepada peperiksaan SPM ini. Jangan ikut kawan-kawan. Suruh sangat belajar ini sebab boleh, maksudnya dapat kalau berusaha. Jika tidak boleh, dudok pun kelas akhir tidak perlulah nak dihiraukan lagi.

Minta ada tujuan hidup, tetapkan matlamat dan cita-cita. Mak ayah tiada apa nak bagi, harta pun tiada. Hanya inilah saja pelajaran sebagai bekal. Kalau anak tokey kaya-raya, tak mengaji pun takpa dah. Esok habis SPM boleh terus kerja dengan bapak. Ini bapak kamu bukan tokey besar, makan gaji jugak. Kalau sijil SPM tidak elok, nak minta keja pun susah. Melainkan ada bakat bisnes, boleh buat bisnes. Ini tak nampak pun bakat bisnes, bakat nak merapu tu adala. Kalau nak bisnes pun perlu ada disiplin yang tinggi. Kalau asyik nak tuang sana tuang sini, pakai bangkrap bisnes.

Ini la sedikit sebanyak yang aku ingat aku cakap semalam, balik dari tuisyen aku tak cakap apa dah. Malam sebelum tidur aku pulak kena basuh dengan mak dia. Semua kesalahan anak letak atas bahu aku. Betul la tu, kalau tak cari kambing hitam tentu la tak tau nak salah siapa. Maka jadikan aku kambing hitam. Tapi aku tidak kisah dengan apa yang dilemparkan atau dibebankan ke atas bahu aku. Memang pun begitu. Terima lah tanggungjawab ini. Takkan nak salah ibu yang mengandung pulak. Atau kawan-kawan dia, atau pemerintah sekarang. Salahkan aku, boleh kata semua berbuat begini. Guru-guru, abang angkat dia, mak saudara dan anak perempuan no.2 pun gagah jugak.

”Sesungguhnya anak-pinak dan harta-benda itu adalah ujian ke atasmu”. Selagi dikurniakan akal yang waras, fikiran yang bernas dan tubuh badan yang sihat, maka bersyukorlah.

SPM bukanlah segala-galanya. Kalau gagal pun, nanti boleh ambik lagi. Ramai yang SPM tidak berapa elok pun berjaya jugak. Mungkin perangai ’tidak elok’ ini kontra ke atas kelakuan aku yang terlalu rajin mengaji tapi tak nampak apa pun hasil dari pengajian ini. Ambik degree bisnes, tapi apa bisnes pun tak buat. Masih dok makan gaji, tahap lama. Tak nampak kaya pun, atau sekurang-kurangnya senang sikit bila dah mengaji ada degree ni. Sekarang pun mengaji lagi, ambil IT pulak. Kena kata lepas ni, nak pi buat master pulak.

Sorong papan tarik papan
Buah keranji dalam perahu
Suroh makan dia makan
Suroh mengaji dia buat tak tahu.

Untung sekarang aku masih belum berputus asa. Disaat biniku yang banyak mendengar dan percaya pendapat dan idea orang lain, aku terjumpa semula buku belajar berfikir karya AM dan AH yang aku beli pada tahun1999. Dapatlah aku bertenang fikiran kerana telah terjumpa alat yang telah lama hilang atau mungkin terlupa kata ada. Dengan alat ini dapat aku menyerap semua idea dan pendapat yang diberikan kepadaku dengan hati yang lapang dan terbuka. Tidak lama lagi, pastinya idea terbaik akan dapat dikeluarkan. Tapi itu lah, masa makin suntuk dan dunia makin laju. Tindakan agresif perlu diambil. Ingat nak guna undang-undang tentera pulaklah. Aku suruh hang buat sajalah. Jangan nak songel lagi. Hulur buku bagi baca, jangan bagi keluar rumah langsung. Handphone pun katup. Cukup masa sembahyang, sembahyang. Masa makan, makan. Itulah pilihan terakhir. Sudah bagi peluang lama dah, tapi masih tidak tahu nak urus diri. Hanyut macam anak yang tak dak mak bapak.

Thursday, October 09, 2008

Blog Mendidik anak

Aku perlu agresif bertindak sekarang. Sebagai komitmen untuk menjadi bapa yang terbaik dan supaya kesilapan tidak berulang lagi maka aku menbangunkan blog baru ini. Koleksi Artikel Panduan Mendidik Anak.

Di sini boleh aku menghimpun segala koleksi artikel yang ada di alam maya dan fana ini. Buat permulaan aku cuba postkan artikel yang ada di Metro Online.

Malam ini juga ada majlis bacaan Yasin untuk para pelajar yang akan menduduki PMR dan SPM tahun 2008 ini di sekolah anak sulongku. Aku telah dicalonkan oleh isteriku untuk hadir. Dia tidak dapat hadir kerana perlu menghantar anak kedua untuk tuisyen add math. Tapi aku tidak gerenti penuh untuk hadir lagi. Sekarang musim hujan di daerah ini, jika hujan terlalu lebat aku melewatkan diri untuk pulang ke rumah. Semalam, aku sampai jam 9:30 malam.

Sebenarnya..aku sudah terlalu malu untuk hadir ke sekolah itu. Sebelum ini kamilah mak bapak yang selalu hadir ke kawasan sekolah itu bagi memastikan anak sulong kami masuk ke kelas. Juga telah dua kali dipanggil untuk sesi kaunseling dan mesyuarat khas mencari jalan penyelesaian untuk anak kami yang bermasalah itu.

Tapi..tengoklah nanti samada aku ada idea lain. Jika aku tidak ingin menghadirkan diri, adakah aku mempunyai cukup kekuatan untuk menentang arus. Dalam masa yang sama melukakan hati orang yang disayang.

Jika aku tidak pergi membaca Yasin di sekolah pun, selalu juga aku membacanya di mana-mana tempat dan ruang waktu yang sempat. Dan membaca Yasin ini sudah sebati dengan diriku. Ini adalah kekuatan yang aku ada berbanding dengan amalan yang lain seperi Solat Hajat, Qiamullail dan sebagainya.

Sambung lagi.. aku pernah menjawab salah satu soalan temuduga kenaikan pangkat yang sedang aku jawat sekarang dengan memberi penyelesaian membaca Yasin 44 kali. Ini sebagai menamatkan soalan yang tidak habis-habis ditanya mengenai pekerja bawahan yang bermasalah. Setelah satu demi satu jawapan yang aku beri terus juga ditanya apa lagi yang patut aku buat maka Yasin 44 inilah jawapan akhirnya.

Pergi tak pergi, pergi tak pergi, pergi tak pergi atau wa tukar ganti..Bini pergi, aku hantar anak tuisyen..macam mana?

Tuesday, October 07, 2008

SPM tidak penting

Sebulan lagi SPM2008 akan tiba, dan aku cuba melihat peperiksaan ini dari kacamata anak sulongku.

Hari ini dan semalam anakku tidak ke sekolah, hari Ahad lepas juga tidak hadir untuk ke kelas tuisyen. Dan pagi tadi juga semalam, kami tidak lagi membangunkan dia dari tidur untuk ke sekolah tapi sekadar untuk dia bersolat subuh.

Pesan kakak ipar juga emak saudaranya (seorang Cikgu di sekolahnya), jika lewat tidak payah ke sekolah. Buat disumpah seranah oleh cikgu-cikgu yang ada di sana. Sudahlah lewat, masuk ke kawasan sekolah macam sekolah sendiri, pengawas minta nama pun tak bagi.

Yah, SPM tidak penting lagi bagi aku. Tiada SPM yang baik pun Bapak Saudara aku boleh pakai Merc, ayahku yang sudah beberapa kali masuk keluar U dengan degree, masih jadi kuli. Aku mahu jadi Bos. Itulah pandangan aku pada pemikiran yang tidak matang yang ada dalam kepala otak anakku.

Cukuplah bagi aku yang dulu pernah dapat UPSR 5A dan PMR 6A. Sekarang SPM tidak penting bagi aku, minggu sebelum hari raya keputusan ujian Math moden aku dapat 35%. Aku tidak kisah pun, aku tidak peduli. Aku diamkan saja. Tapi mungkin ayah aku tahu sebab dia naik jumpa cikgu tuisyen untuk bayar yuran.

Jangan give-up encik, lepas raya ni ada masa lagi. Pesan guru tuisyen yang paling baik dalam Math. Moden pada aku. Aku tidak give-up, yang give-up anakku. Masa masih ada, tapi kalau tidak diberi masa untuk belajar, apa nak buat.

Encik tidak mahu, apa kami boleh buat.
Taik kambing bulat-bulat,
Dimakan jadi ubat,
Disimpan jadi azimat.

Tak dapet den nak nolong eh..