Wednesday, November 01, 2006

Keinginan untuk menulis

Date: 01.11.2006
Start Time : 02:03

Tidak terlelap mata malam ini. Lalu ku menyusuri dari laman ke laman web yang biasa aku susuri. Porno? Oh! besa. Pakdi, sudah tamat tempoh. UniPTS..semestinya. Tapi tiada apa yang ku baca. Saifulislam juga disusuri dan dihayati dua catatannya. Aku pernah menitis air mata kerana membaca catatannya. Malam ini, catatannya juga menarik, terutamanya pesan ayah.

Kembali kepada diriku..Aku cuma hidup dengan abahku selama tiga tahun sahaja. Bermula darjah lima, selepas acara berkhatan maka aku tinggal dengan abahku dan beribu tiri sehingga tingkatan satu. Pesan ayah..mungkin atau sekadar omong-omongan ingin anak yang dibelanya ini menghadiahkan sekurang-kurangnya Al-Fatihah bila ia sudah tiada lagi di dunia ini. Seperkara lagi yang sangat ingati, komennya mengenai tulisan aku yang buruk itu tidak layak menjadi kerani dan dibandingkan pula tulisan aku dengan sepupuku ternyata sepupuku itu layak menjadi kerani. Pada tahun 1979 di darjah enam, hanya itu yang difikirkan oleh abahku, ingin anaknya menjadi kerani.

Tetapi ternyata hakikatnya telah menjadi seorang kerani juga aku pada tahun 1991 sehingga 1995. Kerani ini tidak pula memerlukan tulisan yang cantik pula. Bukankah pada masa itu komputer sudah digunakan untuk membuat surat. Dan pula yang terjadi sebaliknya, si sepupu aku itu hanya sekadar menjadi operator kilang sehingga sekarang.

Aku..telah dinaikkan pangkat dari kerani menjadi pentadbir sistem (Komputer). Sekarang pula sudah sampai ke tingkatan kanan. Temuduga untuk tingkatan tertinggi pada 30.05.2006 hari itu sekadar calon simpanan.

Cita-citaku sekarang ini, ingin berniaga pula. Sudah banyak kursus yang aku ikuti tetapi satu pun belum berjalan lagi. Itulah profesion abahku dulu. Peniaga ubat-ubatan atau dalam kata lain penjual ubat kuat. Harapanku, adalah bakat berniaga itu dalam diri ini. Sedang ku cungkil-cungkilkan biar keluar. Bila sudah keluar nanti, akan aku kilat-kilatkan.
Semoga berjaya, Amin.

Sekian.

End Time : 02:33

Friday, October 06, 2006

Tugasan 2 - Bahasa Melayu Pengurusan

Date : 06.10.2006 Friday
Time : 02:00

Kemahiran mendengar untuk menjadi pendengar yang berkesan.

Abtraks
(Tulis last sekali – ringkasan semua artikel ini fakta 2, idea2 utama, butiran-butiran penting)

Artikel ini mengandungi kemahiran mendengar yang berkesan termasuklah proses-proses mendengar

Pengenalan:

Kemahiran mendengar merupakan perkara yang penting dalam berkomunikasi supaya tindakan yang di ambil dari mesej yang hendak disampaikan bersesuaian atau menepati maksud yang hendak disampaikan kepada pendengar. kebiasaannya ia merangkumi konteks komunikasi dua hala.

Berdasarkan kajian yang dijalankan oleh........telah menunjukkan bahawa orang-orang yang tidak mahir mendengar didapati kurang berjaya dalam lapangan pekerjaan dan berkemungkinan akan mengalami tekanan perasaan apatah lagi dalam konteks perkahwinan yang tidak beberapa memuaskan. Menurut Prof. Abdulah Hassan, fungsi utama mendengar adalah untuk belajar, mempengaruhi seseorang, menjalinkan hubungan yang baik, untuk berseronok dan tolong-menolong orang lain (Prof.Abdullah Hassan : 2001).
Kegagalan menjadi seorang pendengar yang mahir secara tidak langsung turut mempengaruhi personaliti, profesionalisme dan menghasilkan masalah apabila pengambilan tindakan yang salah hasil dari kegagalan keupayaan mendengar yang berkesan.

Mendengar dan dengar

Mendengar merupakan salah satu aktiviti yang sangat penting dalam setiap kehidupan yang dilakukan sama ada di peringkat kanak-kanak ataupun di peringkat dewasa. Kajian yang dilakukan Barker (1971) tentang konsep kemahiran mendengar menunjukkan bahawa dalam keadaan manusia sedar, 45% digunakan untuk mendengar; 30% bercakap; 16% membaca dan 9% menulis. Dari kajian menunjukkan proses mendengar memainkan peranan yang penting dalam kehidupan.

Walau bagaimanapun terdapat perbezaan yang besar di antara mendengar dan proses dengar. Mendengar adalah suatu proses yang aktif manakala dengar adalah satu proses yang pasif. Pendengaran yang aktif merangkumi proses mendengar dengan bertujuan memahami, mengingat, menilai dan mengkritik. Sementara mendengar pasif atau dengar sahaja dikatakan lebih kepada mendengar sosial, iaitu mendengar untuk tujuan berhibur, rehat dan sebagainya, seperti mendengar radio, televisyen atau percakapan biasa (Barker 1971). Menurut pendapat Chuah (1987) dengar adalah satu proses fisiologi yang melibatkan sistem saraf pendengaran di otak tetapi mendengar adalah satu proses yang lebih aktif, iaitu proses yang melibatkan bidang psikologi.

Dari sudut kaunseling, mendengar yang terbaik ialah mendengar dengan empati iaitu mendengar dengan menjiwai apa yang sepatutnya didengar. Seseorang yang mendengar dengan empati merasakan seolah-olah dirinya berada pada tempat si penyampai dan mengalami sendiri apa yang dialami olehnya. Mendengar dengan empati juga melarang dari pendengar daripada menilai dan mengadili kata-kata dan perbuatan orang lain, menghukum, mengkritik diri orang itu ataupun mentafsir perbuatanya. Mendengar penyataan orang lain dengan cara berempati memerlukan pendengar cuba memahami apakah faktor yang menyebabkan orang itu melakukan apa yang telah dilakukan, memahami faktor bagaimanakah yang menyebabkan ia mempunyai perasaan yang sedang dirasakannya, mengambil tahu perkara yang telah terjadi ke atasnya. (Abdullah & Ainon,1999).

Proses dalam mendengar

Proses dalam mendengar meliputi perkara-perkara seperti proses menerima, memahami, mengingat, menilai, dan memberi tindakbalas. Proses menerima adalah suatu proses menerima mesej yang diucapkan dan memahami mesej dalam bentuk bahasa badan atau “ body language”. Untuk memahami apa yang disampaikan oleh pemidato atau penceramah berkenaan, para pendengar sewajarnya melakukan perkara seperti memberi tumpuan kepada kata-kata penyampai dan juga memehatikan gerak-geri bahasa badannya, mendengar apa yang diperkatakannya dan juga mendengar apa yang tidak dikatakan melalui bahasa badan. Pendengar juga perlu menumpukan perhatian pada penyampai itu dan jangan pula menyibukkan diri dengan memikirkan apa yang hendak diperkatakannya. Pendengar juga disarankan agar tidak suka mencelah dan mengambil peduli pada gangguan yang ada atau yang berlaku semasa proses sedang mendengar.(Abdullah & Ainon,1997)

Manakala proses memahami pula ialah mencuba mentafsir atau merungkai apa yang dimaksudkan oleh penyampai, termasuk apa yang difikirkannya. Supaya lebih memahami, pendengar hendaklah melakukan perkara seperti berikut, iaitu cuba mengaitkan atau mengimbangi apa yang telah diperkatakan oleh penyampai dengan apa yang terhasil dari pendengar. Kemudian cuba memahami apa yang penyampai itu kata dari sudut pandangannya, bukannya dari sudut pandangan pendengar. Pendengar harus menunggu sehingga penyampai habis bercakap sebelum membuat penilaian atau andaian dari apa yang disampaikannya. Pendengar juga perlu meminta lebih banyak penerangan atau maklumat dan mengulangi apa yang diperkatakannya dengan menggunakan kata-kata sendiri supaya pendengar lebih memahami apa yang telah disampaikannya.

Dalam proses mengingat pula adalah perlu bagi pendengar mengingat apa yang diperdengarkan oleh penyampai maklumat dan membuat catatan berkaitan dengan apa yang didengar bagi tujuan mengingatinya. Dalam proses mengingat, pendengar perlu mengenalpasti perkara penting yang telah diucapkan, membuat ringkasan atau “Short note” tentang apa yang diucapkannya dan mengulangi nama serta perkara yang penting pada diri pendengar itu sendiri.
Proses menilai memerlukan pendengar melakukan penilaian. Dalam proses menilai pendengar tidak sewajarnya melakukan perkara seperti menilai sebelum penyampai habis bercakap atau penilaian dari segi negatif tetapi digalakkan beranggapan dengan mengandaikan penyampai itu berniat baik. Andaikata kita merasa keraguan atau tidak setuju dengan pendapat atau pandangan orang yang berkenaan, mintalah penjelasan dengan lebih lanjut untuk lebih kepastian, cuba mengenalpasti jika terdapatnya prasangka, berkepentingan diri dan sikap berat sebelah akan menyebabkan seseorng dipandang serong dan beranggapan bahawa seseorang itu tidak baik dari segi luaran atau zahirnya..

Respons merupakan maklumat yang diberikan kepada pendengar semasa dan selepas kita mendengar dia bercakap. Respons menjadi suatu perkara yang penting untuk menjadi pendengar yang berkesan kerana mesej yang dihantar akan menghantar maklumbalas kepada penyampai (J.Seiler ,1996). Respons yang di buat semasa penyampai bercakap mestilah bersikap mendukung, iaitu respons yang menunjukkan kita mendengar apa yang diperkatakannya. Respons yang kita buat selepas dia habis bercakap biasanya lebih panjang dan disertai dengan perasaan empati.(Abdullah & Ainon,1997). Apabila memberi respons kita hendaklah menunjukkan sikap dukungan kepada orang itu dengan gerakan mengangguk-ganggukkan kepala, bersikap jujur sama ada kita setuju atau tidak dengannya dan menggunakan ayat-ayat “saya.”

Fungsi mendengar

Menurut kenyataan yang diunjurkan oleh pasangan Abdullah dan Ainon (1997), Fungsi utama mendengar ialah bertujuan untuk belajar, mempengaruhi orang, menjalinkan perhubungan, berseronok dan tolong-menolong semasa manusia. Fungsi mendengar untuk belajar adalah bertujuan supaya pendengar dapat memahami diri sendiri dan memahami orng lain serta alam semesta ini melalui maklumat yang disampaikannya. Belajar dari orang lain membuatkan pendengar dapat mengetahui perkara yang tidak diketahuinya atau tidak pernah dialaminya sebelum ini. Oleh itu pendengar akan dapat menghindari masalah yang timbul atau akan terjadi kerana pendengar telah mengetahui perkara tersebut terlebih dahulu.

Manakala fungsi mendengar digunakan untuk menjalinkan hubungan pula ialah supaya pendengar dapat menjalin dan mengekalkan hubungan persahabatan, percintaan dan perkahwinan yang lebih memuaskan. lanjutan kepada sikap dan sudah menjadi lumrah manusia yang suka menerima orang yang pandai mendengar mereka bercakap dan ini memberi gambaran bahawa pendengar merupakan seorang yang berminat dan prihatin terhadap mereka dan hal ini menyebabkan mereka lebih menghargai hubungan yang sedemikian.

Hakikatnya seseorang yang pandai mendengar juga akan dapat mempengaruhi sikap dan tingkah laku seseorang yang dikategorikan sebagai mendengar cakap pendengar. Oleh yang demikian, mereka menghormati dan mudah menerima pandangan orang yang mahu mendengar mereka bercakap. Selain itu, fungsi mendengar juga bertujuan untuk berseronok dengan mendengar cerita-cerita yang menarik atau sebaliknya, bergurau senda, berlawak jenaka dan perbualan kosong semata-mata bukan berpandukan keuntungan tetapi sekadar menjalinkan perhubungan atau komunikasi dua hala yang sihat. Jalinan perrhubungan tersebut dapat mengisi keperluan emosi seseorang untuk bersuka-suka dan merasakan kehadirannya amat dihargai serta penerimaan dari kawan-kawannya. Akhir sekali fungsi mendengar adalah bertujuan untuk menolong atau membantu orang lain dengan merasakan apa yang dirasakannya boleh menjadi penyelesaian terhadap pemasalahan yang dihadapi dan berfikir secara rasional serta waras mengikut apa yang pada anggapannya dan difikirkannya baik.

Meningkatkan kemahiran mendengar

Daripada pengetahuan yang dipelajari dan latihan yang mencukupi seseorang itu boleh menjadi pendengar yang berkesan. Pelbagai cara dikenal pasti sebagai alat untuk meningkatkan kemahiran pendengar. Pengaplikasiannya bermula dari rumah hinggalah ke pejabat. Aspek kemahiran pendengar memiliki skop yang luas. Menurut kenyataan J. Seiler, supaya kemahiran mendengar menjadi lebih baik dan berkesan , seseorang perlulah bertenaga dan menumpukan sepenuh perhatiannya tehdap proses tersebut serta berterusan mengambil bahagian dalam komunikasi dua hala.

Antara perkara-perkara yang disarankan oleh J. Seiller dalam meningkatkan kemahiran mendengar ialah berhenti bercakap, tatkala apabila kita berkata-kata kita akan kurang mendengar. Jangan suka menggangu penyampai ketika sedang menyampaikan ucapannya. Cuba memahami perkara atau topik yang sedang dibincangkan, menumpukan dan memahami dengan apa yang diperkatakannya.

Ambil tindakan terhadap idea spontan tanpa melihat kepada individu yang memberi atau melaungkannya. Sebagai contoh jika seseorang menjerit menyatakan “ API, API, API “ apakah tindakan sepontan yang sepatutnya kita lakukan, sudah semestinya berusaha menyelamatkan diri dari ditimpa bencana tersebut. Berdasarkan contoh tersebut kemahiran mendengar seseorang individu berkesan dengan baik berkenaan telah menunjukkan maksud penyampai iaitu mesej berlakunya kebakaran.

Perkara yang teakhir cuba ditekan oleh william j. seileir ialah mengambil nota untuk menambahkan keberkesanan mendengar. Kita andaikan jika berada di dalam bilik kuliah. Setiap pelajar terbabit akan menumpukan perhatian kepada penyampai di hadapan iaitu pensyarah. Setiap kenyataan pensyarah akan di halusi menerusi nota-nota pendek yang dicatat oleh para-pelajar. Hasilannya akan menunjukkan keberkesanan aspek mendengar dan pemahamannya.



Kesimpulan..

Tuesday, October 03, 2006

Apa yang nak aku tulis

Date : 03.10.2006
Time : 00:35

Salam..

Semasa mula kembali mengblog di sini pada dua hari yang lepas aku tidak dapat tidur. Macam-macam yang datang di kepala otak aku. Nak tulis ini lah, itu lah, akhirnya jam 4:30 pagi baru dapat tidur dan aku pun bersahur dulu.

Tetapi malam ini tidak tahu pula apa yang nak ditulis. Jadi, macam biasa lah, aku akan melawat blog geng yang lain. Masuk ke blog cikgu DIT aku tiada apa yang dikemaskininya. Kemudian ke laman sifuPTS (www.universitipts.com), dapat lah sikit info - macamana kalau nak tahu ada bakat penulis atau tidak. Dari tujuh soalan yang ditanya, hanya tiga jawapannya YA. Jadi, kesimpulannya takda bakat lah. Tapi aku tidak kisah, dua soalan yang mula itu melibatkan keturunan. Susah nak dikata. Setahu aku, keturunan aku ni - berniaga. Tapi, takdak yang kaya-raya pun. Kira tak berbakat lah jugak. Soalan ke empat, memang tidak pernah dapat A semasa di sekolah maupun universiti dalam bab karang mengarang ini dan soalan ke lima, aku berazam mulai hari ini aku akan mencuba untuk menyertai sebarang peraduan mengarang. Mana lah tahu, kot ada bakat kat situ.

Selepas blog sifuPTS, aku ke blog PakDi pulak (www.pakdi.com/blog). Malam ini, PakDi pekena aku. Aku ingat betul la apa yang dia tulis mengenai skim pelaburan itu. Rupanya palsu belaka.

Akhir sekali aku ke blog yang memberi sedikit pengisian kepada jiwa Islam aku. Itulah blog
saifulislam online.

Sekian.

Saturday, September 30, 2006

Baru nak timbul

Salam kepada dunia..

Sudah enam bulan aku tidak mengemakini blog ini. Sudah tentu peminat aku pun sudah lari. Yang pasti aku punya enjin webstat pun dah menhilangkan diri. Jadi, aku pun tidak tahu lagi sepanjang peninggalan aku ini, ada ka sesiapa yang menjenguk blog ini, selain aku sendiri.

Berita sudah basi..
Aku sepatutnya konvo pada 10.09.2006 hari itu. Tetapi, aku pun tidak pergi untuk berkonvo, sebabnya si Tun yang berikan 'apa itu' hanya berikan 'apa itu' sekeping kertas kosong saja. Bila pulangkan jubah nanti barulah diberi sekeping degree dan transkripnya sekali. Sebab keduanya, aku tidak mahu sibuk-sibuk dengan orang ramai dan mendiamkan diri di dalam dewan itu selama sepetang. Sebab ketiga, aku malu sama pensyarah undang2 syarikat yang aku buat 'spoil' pada akhir semester hari itu. Tentu dia ada dalam dewan itu, pada petang itu dan mungkin nanti katanya" Inilah budak yang kena marah dengan aku sebab tidak hantar tugasan tepat pada masanya". Katanya pada masa itu"Senang la lagu tu, tugasan tak hantar. Tapi minta soalan tambahan lagi". Arakian di akhir kan cerita, terpaksalah aku merayu melalui email untuk bagi lulus subjek ini. Dan keputusannya dapatlah 'D'. Bergraduat jugak.

Berita terkini..

Aku sambung belajar buat DIT kat Cosmopoint Penang pulak. Mula belajar 26.08.2006 hari itu. Sekarang dah masuk ke semester 2. Ambil paper DB dan Intro to Programming. Pensyarah aku (sufikeramat.blogspot.com)..nampaknya gila-gila sikit. kalau kamu masuk kat blog dia ni, pada masa ini, itulah muka dia. Yang dua orang kawan-kawan perempuan dia tu, itu orang yang membawa aku masuk ke Cosmopoint Penang. Jumpa semasa aku pergi makan angin kat Langkawi. Dia orang buat promosi kat sana. Apa nama tempat itu..Wisma Peladang? Aku yang kemaruk nak belajar kembali, tergesa-gesalah mendaftarkan diri. Lagi, depa nak bagi 'notebook' sebiji. Lagi cepatlah aku mendaftarkan diri.

Kerjaya aku..

Selepas mendapat transkrip sementara sudah dua kali aku pergi temuduga. Yang satu itu, jawatan IT Tertinggi dan yang lagi satu itu jawatan yang setaraf dengan kelulusanBBA aku. Tapi, aku sudah dapat surat dukacita untuk jawatan yang setaraf dengan kelulusan aku itu. Kalau kamu semua nak memohon silalah lawat laman web ini, www.tnb.com.my . Company aku sudah offer kat orang luar pulak. Tarikh tutup 6.10.2006.
Jawatan IT, aku dok tunggu jawapannya dalam minggu-minggu ini.

Okay, setakat ini dululah.

Wasalam.

Monday, March 13, 2006

Tugasan Etika (Ethic Assignment)

ETIKA PENDAKWAH ISLAM DALAM KONTEKS JEMAAH TABLIGH
1.0 PENGENALAN

Dengan nama Allah yang Maha pemurah lagi Maha penyayang, segala puji bagi Allah tuhan pemelihara sekalian alam, selawat dan salam ke atas Nabi dan Rasul junjungan Muhammad s.a.w dan seluruh pengikutnya hingga keakhir alam.
Aku menulis bukan kerana nama, kerana sememangnya aku bukanlah penulis yang ternama, tetapi aku menulis berdasarkan sedikit sebanyak pengalaman yang aku dapati selama aku bergiat dengan jemaah ini. Pengalaman ini begitu berharga sekali terutamanya mengenai keyakinan dan kefahaman aku terhadap kalimah tauhid iaitu ‘Lailahaillallah Muhammadurrasulullah’ yang aku dapati semasa keluar menyertai jemaah ini iaitu selama empat puluh hari yang pertama (1986). Banyak pengalaman yang luar biasa yang aku alami semasa berada bersama dengan jemaah antaranya betapa makbulnya hajat atau keinginan hambanya yang menyertai jemaah, jika terlintas dihati ini inginkan sesuatu nescaya akan ada orang yang akan datang menghantarnya walaupun keinginan itu tidak disuarakan kepada sesiapapun. Di situlah bermulalah kefahaman yang jelas tentang agama Islam dan kehendak-kehendaknya terhadap penganut-penganutnya terutamanya kehendak untuk menyebarkan kalimah tauhid ini kepada seluruh umat di muka bumi ini.
Di situ jugalah aku mula mengenali dan belajar mengamalkan sunnah Rasulullah s.a.w dengan secara amali dan teliti, di mana akan aku bincangkan dalam bab adab-adab yang menjadi amalan Jemaah Tabligh. Amalan sunnah ini amat ditekankan sekali semasa keluar menyertai jemaah kerana sememangnya menjadi prinsip jemaah meyakini bahawa kejayaan yang hakiki dalam apa pekerjaan sekalipun terutamanya dalam pekerjaan dakwah ini, ialah dengan mengamalkan semua amalan sunnah Nabi Muhammad s.a.w dari sekecil-kecilnya hingga sebesarnya, insyaallah akan dibincangkan kemudian.
Berdasarkan pergerakan Jemaah Tabligh ini dari masjid ke masjid dan surau maka dapatlah aku ketahui betapa pentingnya dihidupkan kelima-lima amalan utama masjid (akan dibincangkan) yang menjadi tunggak kejayaan Nabi Muhammad s.a.w dalam melaksanakan misi dakwah dan menegakkan negara Islam di Madinah Munawarah.
Akhirnya saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada kawan-kawan dan ahli keluarga serta tidak lupa saya kepada pensyarah Pengantar Etika sessi April 2000/2001 Tuan Haji Ahmad Khamis yang memberi galakan dan panduan bagi penulisan ini. Saya berdoa kepada Allah s.w.t semoga dengan penulisan ini dapat hendaknya kita sama-sama mengingati kembali secara yang lebih tersusun akan amalan-amalan jemaah ini dan betapa pentingnya kita kekal mengamalkan apa yang dituntut olehnya bagi manfaat bersama dan umat seluruh alam.


2.0 DEFINISI ETIKA (Ibrahim Mamat : 4)

Definisi ini dipilih kerana ianya lebih menepati tajuk yang dibincangkan ini dari segi moral, adab dan akhlak yang begitu sekali ditekankan dalam setiap amalan dan gerakan Jemaah Tabligh ini.
Definisi etika dalam erti moral dan akhlak iaitu sebagai gerak laku sendiri sama ada betul atau salah, baik atau buruk, benar atau palsu dan memberi manfaat atau mudarat. Ianya membawa maksud sikap atau cara manusia berkelakuan berasaskan prinsip baik atau buruk.

3.0 APA ITU JEMAAH TABLIGH

Jemaah Tabligh hanya salah satu gelaran yang paling popular di Malaysia yang diberi kapada pergerakan ini ianya juga dikenali sebagai ‘The Six Brother’ di kalangan masyarakat barat dan Jemaah Persaudaraan di Indonesia. Pergerakan Jemaah Tabligh ini mula diasaskan di Mewat, India oleh Maulana Alias kira-kira 60 tahun yang lalu. Pergerakan ini yang sekarang bergerak aktif di seluruh dunia ,asih menjadikan negara India sebagai markas utama pergerkannya. Di sana, segala pergerakan dan aktiviti dakwah seluruh dunia diatur dan diselaraskan. Keperluan untuk menghantar jemaah ke sesuatu tempat di seluruh dunia akan ditentukan di sana, yang dipanggil dengan 'Takaza agama'.
Di Malaysia, pusat gerakan atau markas utamanya terletak di Masjid Sri Petaling, Sungai Besi Selangor. Selain di situ, terdapat banyak lagi markas yang berada di seluruh Malaysia. Boleh dikatakan, disetiap negeri terdapatnya markas pergerakan ini. Tempat yang biasa dijadikan markas mereka, ialah masjid, surau dan madrasah. Di sini, setiap aktiviti gerakan dakwah dijalankan seperti mesyuarat mingguan, perhimpunan mingguan dan penjadualan ke mana jemaah akan dihantar bagi melaksanakan misi dakwah mereka.


4.0 SEJARAH GERAKAN JEMAAH TABLIGH

Dari segi sejarahnya, gerakan Jemaah Tabligh diasaskan oleh Maulana Muhammad Ilyas (1885-1944). Beliau dilahirkan dan dibesarkan di Kandhela serta menerima pendidikan awalnya di Kuttab sekitar tahun 1896 bersama-sama abangnya Muhammad Yahya.

Faktor utama kemasyhuran Maulana Muhammad Ilyas al-Kandahlawi adalah terletak kepada gerakan Islam yang diasaskan olehnya iaitu Jemaah Tabligh. Sejarah kemunculan gerakan ini bermula di Mewat apabila beliau menubuhkan madrasah-madrasah untuk mendidik orang-orang di situ. Tetapi oleh kerana kurang sambutan maka dibentuknya sebuah jemaah yang bertugas untuk bertabligh dan melawat tempat-tempat tertentu selama beberapa hari. Selepas kematian abangnya iaitu Muhammad Yahya, pusat kegiatannya lalu berpindah ke Masjid Bangle Wali, Nizamuddin, New Delhi. Semenjak inilah gerakan Jemaah Tabligh terkenal ke seluruh India.

Di Malaysia pada mulanya gerakan Jemaah Tabligh berkembang di kalangan orang-orang India Muslim sahaja. Tokoh yang memperkenalkan gerakan ini ialah Maulana Abdul Malik Madani, yang datang ke Singapura dan Selangor sekitar tahun 1952 sebagai utusan dari markasnya di Nizamudin sendiri. Dari Singapura, beliau lalu datang ke Kuala Lumpur selama beberapa hari dan berangkat ke Ipoh dan Pulau Pinang lalu kembali ke Kuala Lumpur dan terus pulang ke India melalui Singapura.

Semasa di Kuala Lumpur beliau disambut oleh beberapa orang tokoh India Muslim seperti Dato' Daud Ahmad Merican, T.K.S Abdul Majeed dan S.O.K Ubaidullah. Melalui bantuan Imam Masjid India di Kuala Lumpur ketika itu, iaitu Mohamed Syed, Maulana Abdul Malik dapat menerangkan program tablighnya kepada orang-orang India-Muslim di sini.

Demikianlah sepanjang tahun 1950-1960 kegiatan Jemaah Tabligh ini tertumpu kepada kaum India Muslim sahaja. Namun begitu mulai tahun 1970-an bermulalah tahap yang kedua dalam sejarah Jemaah Tabligh di Malaysia iaitu apabila kegiatannya turut melibatkan orang-orang Melayu di dalamnya. Sekarang ini pusat gerakannya telah pun berpindah dari Masjid India di Kuala Lumpur ke Masjid Sri Petaling, Sungai Besi, Selangor yang lebih luas dan selesa. Di situ, selain menjadi pusat gerakan utama di seluruh Malaysia, ianya juga adalah tempat pusat pengajian tahfis Al Quran.



5.0 ENAM PRINSIP UTAMA JEMAAH TABLIGH

Enam prinsip utama yang sentiasa menjadi amalan setiap masa dan ketika dalam apa keadaan sekalipun, juga dikenali sebagai enam sifat utama para sahabat Rasulullah s.a.w yang membawa kejayaan kepada mereka dunia dan akhirat:-

5.1 Kalimah Taiyibah
Meyakini dengan sebenarnya yakin kepada kalimah Lailahaillallah Muhammadurrasulullah .Menyakini dengan sebenar-benar yakin bahawa hanya Allah Taala yang berkuasa, makhluk (selain daripada Allah Taala) tiada berkuasa . Dan yakin dengan sebenar-benar yakin hanya dengan mengikuti cara hidup Rasulullah s.a.w yang akan membawa kejayaan dunia dan akhirat. Sebaik-baik zikir ialah Lailahaillallah. Jika dizikirkan sebanyak seratus kali setiap hari, maka tiada kebaikan yang lebih baik daripadanya.
Kelebihan Muhammadurrasulullah ialah, barangsiapa dapat mengamalkan satu sunnah Rasulullah s.a.w di zaman fasaq dan mungkar ini, akan mendapat ganjaran seratus kali pahala mati syahid. Oleh itu, untuk menanamkan keyakinan kepada kalimah ini ke dalam diri, maka hendaklah sentiasa bercakap, mendengar, melihat dan berfikir kebesaran Allah. Juga, hendaklah berusaha mengamalkan semua sunnah Rasulullah s.a.w, di samping berdakwah dan berdoa kepada Allah bagi maksud ini.

5.2 Salat ( sembahyang)
Mengamalkan solat yang khusuk dan khudug.

5.3 Ilmu dan Zikir
Mengutamakan ilmu dan zikir

5.4 Ikram Muslimin
Menjaga hubungan sesama manusia.

5.5 Keikhlasan Niat
Mengikhlaskan niat sesuatu perbuatan itu kerana Allah Taala semata-mata

5.6 Pengorbanan dan keluar ke jalan Allah
Memperuntukan masa untuk keluar ke jalan Allah bagi melaksanakan dakwah mengikut nisab yang telah tetapkan oleh ulamak atau orang lama di dalam Jemaah Tabligh iaitu setiap bulan tiga hari, setiap tahun empat puluh hari, dan sekurang-kurangnya seumur sekali keluar ke jalan Allah selama empat bulan.


6.0 AMALAN-AMALAN JEMAAH TABLIGH

6.1 Amalan Harian
1. Zikir harian
2. Baca Al Quran
3. Taqlim di rumah & di masjid
4. Solat berjemaah tiap –tiap waktu di surau atau di masjid
5. Program dakwah sekurang-kurangnya 2 ½ jam.
6. Solat sunat terutamanya solat rawatib dan tahajud.

6.2 Amalan Mingguan

1. Program ziarah umat Islam dua kali dalam seminggu.
- hari pertama dalam qariah sendiri.
- hari kedua di sekitar qariah yang berjiran.
2. Menghadiri mesyuarat mingguan di markas yang terdekat.
3. Menghadiri malam markas biasanya dilakukan pada hari sabtu malam di markas yang berhampiran.

6.3 Amalan Bulanan
Anggota Jemaah Tabligh dikehendaki melapangkan masa selama tiga hari untuk keluar ke masjid yang berdekatan dengan qariah masing-masing bagi melaksanakan usaha dakwah, kebiasaannya mereka akan mengambil kesempatan dari cuti hujung minggu pada salah satu minggu pada sesatu bulan untuk keluar tiga hari ini.

6.4 Amalan Tahunan
Setiap tahun, anggota Jemaah Tabligh perlulah melapangkan masa selama empat puluh hari untuk menyertai jemaah keluar ke kawasan yang lebih jaun bagi maksud dakwah. Persediaan yang lebih baik perlulah dirancang awal-awal lagi. Biasanya anggota jemaah telah menetapkan jangkamasa sasaran untuk menyertai jemaah selama empat puluh hari sepenuh masa.

Selain daripada amalan-amalan di atas, anggota jemaah juga disarankan untuk melapangkan masa selama empat bulan untuk pergi ke negara India, Pakistan dan Bangladesh, bagi tujuan untuk belajar usaha ini dari orang-orang yang telah lama bergiat dalam pergerakan ini di sana. Semoga dengan mujahadah selama empat bulan di negara asal usaha ini, anggota yang terlibat dapat mengamalkan segala yang dipelajarinya di sini.




7.0 YANG MENJADI AMALAN JEMAAH TABLIGH

7.1 Adab sebelum keluar berdakwah
1. Memastikan keperluan isi rumah telah diberi dengan secukup-cukupnya ...

7.2 Adab dalam perjalanan

Adab dalam perjalanan yang utama sekali ialah adab menaiki kenderaan.
1. Bermula adab menaiki kenderaan itu ialah dengan niat bermusafir yang baik-baik.
2. Melangkah masuk ke dalam kenderaan atau menaiki kenderaan itu dengan kaki kanan dan mengucapkan ‘Segala puji-puji bagi Allah’.
3. Jika di dalam kenderaan awam seboleh-bolehnya hendaklah si lelaki itu duduk di hadapan dan biarkan si perempuan duduk di belakang.
4. Membaca doa menaiki kenderaan seperti ‘Maha suci Allah yang mempermudahkan kenderaan ini bagi kami dan sesungguhnya ...
5. Memperbanyakkan zikir dalam kenderaan ataupun membaca taglim ataupun bermuzakarah sifat-sifat kejayaan para sahabat.
6. Apabila sampai turunlah dengan melangkah kaki kiri dahulu.


7.3 Adab berada dalam masjid

Oleh kerana anggota Jemaah Tabligh menggunakan masjid sebagai empat tidur, makan minum maka adab-adab masjid harus dipatuhi di antaranya ialah:
1. Masukkan ke masjid dengan kaki kanan dan dengan doa ‘
2. Solat dua rekaat Tahaiyatul Masjid dan kemudian berniat iktikaf dalam masjid, dengan niat ikhtikaf perkara-perkara seperti makan minum dan tidur dalam masjid yang diharamkan sebelum ini diharuskan.
3. Dilarang sama sekali melintas di hadapan orang yang sedang bersolat.
4. Perbanyakkan perkara sunat di dalam masjid seperti solat sunat, membaca Quran dan berzikirullah.
5. Dilarang sama sekali bercakap perkara-perkara yang sia-sia ataupun hal-hal keduniaan di dalam masjid.
6. Dilarang berjual beli di dalam masjid.
7. larang bergaduh ataupun bertumpah darah di dalam masjid.
8. Dilarang menghebohkan kepada umum jika kehilangan sesuatu.
9. Apabila hendak keluar dari masjid hendaklah dengan kaki kiri dan berdoa ‘


7.4 Adab makan dan minum

Adab-adab makan :
1. Hendaklah menunggu makanan jangan makanan menunggu kita.
2. Hendaklah dilapik hamparan atau saprah dan makan di atasnya.
3. Membaca doa makan seperti ‘ Ya Allah, berkatilah akan rezeki ini dan jauhkan kami dari azab neraka’, kemudian Bismillah.
4. Makan menggunakan tangan kanan.
5. Jika buah-buahan hendaklah makan buah terlebih dahulu.
6. Duduk di atas kaki kiri dan menegakkan lutuk kaki kanan.
7. Menggalakkan orang yang lebih alim atau lebih tua makan terlebih dulu.
8. Mengambil makanan yang dekat dengan kita dahulu.
9. Membanyakkan zikir atau bercakap mengenai kebesaran Allah semasa makan, jika tiada apa yang hendaklah diam saja.
10. Meraikan ahli jemaah makan dengan membahagikan lauk-pauk yang ada.
11. Berhenti makan apabila merasa kenyang, jangan makan sehingga terlalu kenyang.
12. Mengutip makanan yang jatuh atas saprah dan makan dengan segera, kerana makanan mengandungi berkat.
13. Hendaklah menghabiskan makanan di bekas makanan sehingga habis licin.
14. Selepas habis makan hendaklah menunggu barang seketika barulah minum.
15. Orang yang terakhir makan hendaklah mengemaskan tempat makan dan membersihkan bekas makanan.
16. Membaca doa selepas makan seperti ‘Segala puji bagi Allah ..

7.5 Adab masuk ke tandas
Adab-adab memasuki tandas bagi menunaikan qhada hajat (membuang air besar atau air kecil):
1. Bersegera menunaikan hajat apabila sampai masanya.
2. Memakai selipar atau lapik kaki dan menutup kepala apabila hendak masuk ke tandas.
3. Mencari kawasan yang sesuai untuk membuang najis, dilarang membuang di kawasan orang lalu lalang , didalam lubang, di air yang bertakung.
4. Membaca doa sebelum masuk ke tandas seperti ‘ Ya Allah, Aku berlindung dari syaitan jantan dan syaitan betina’.
5. Melangkah masuk dengan kaki kiri ke dalam tandas.
6. Memberatkan duduk ke atas kaki kiri jika membuang air kecil dan kaki kanan jika membuang air besar.
7. Beristibra selepas membuang air kecil iaitu dengan berdehem tiga kali.
8. Kemudian membasuh sebersih-bersihnya najis tersebut.
9. Melangkah keluar dengan kaki kanan dan kemudiannya membaca doa seperti ‘...

7.3 Adab tidur
7.4 Adab pergaulan
7.5 Adab kepada diri-sendiri

8 PERBANDINGAN SECARA UMUM DENGAN PERGERAKAN DAKWAH YANG LAIN

9 PENUTUP
Akhir kata wasalam.


:

BIBLIOGRAFI

Muhammad Khair Fatimah. Adab & Sopan Dalam Islam. Pustaka Ilmi: Selangor, 1996.

Maulana Ashraf Ali Thanwi. Adab-adab Kehidupan Bermasyarakat. Terjemahan Abd Aziz Abd Hamid. Darul Nu'man: Kuala Lumpur, 1992.

H. Furqan Ahmad Ansari,(Edisi Ketiga). Bagaimana kita Bertabligh?. H.M. Ya'qoob Ansari Dewan Pakistan: Pulau Pinang, 1980.

Ghazali Darusalam. Dinamika Ilmu Dakwah Islamiah. Utusan Publications & Distributors: Selangor, 1996.

Maulana Ashiq Elahi,(Edisi Keenam). Enam Prinsip Tabligh. H.M Ya'qoob Ansari Dewan Pakistan: Pulau Pinang, 1979.

Ibrahim Mamat. Etika Untuk Mahasiswa. Kumpulan Budiman: Kuala Lumpur, 2000.

Mohamad Zakariyya. Fadzilat Salat. H.M Ya'qoob Ansari Dewan Pakistan: Pulau Pinang, 1979.

Mohamad Zakariyya. Fadzilat Zikir. H.M Ya'qoob Ansari Dewan Pakistan: Pulau Pinang, 1979.

Syaikh Abu Bakar Jabir Al-Jazairy. Menyingkap Tabir Kesalan Fahaman terhadap Jama'ah Tablig. Terjemahan Ahmad Najib Mahfudh. Hagama Insani Press: Jakarta, 1996.

Saturday, March 11, 2006

Koleksi gambar handphone Sony K700i


Terkini (Latest) - eCIBS go meeting at Kangar.

Latihan eCIBS di Bangi dan Penang, Januari 2006.

Kuliah yang akhir (Last Lecture) pada 20 dan 21 Disember 2005.


Motorsikal(Motorbike) lama dan baru.

Satu perjalanan ke Pulau Pinang (Penang)


Bolasepak (Soccer) Kedah D.A lawan MPK di Mini Stadium Keladi pada 18.02.2006


Musim Main Wau(kite) di Padang MPK Disember2005



Penamat Silat Tomoi (KickBoxing) di Kuala Ketil pada 29.01.2006


Latihan Memadam Kebakaran (Fire Drill)

Saturday, February 11, 2006