Tuesday, October 16, 2007

Apa yang dibawa pulang dari kampung.

Seperti lazimnya orang akan membawa pulang kuih-muih hari raya, apabila pulang dari kampung. Tapi, tidak dengan aku. Aku membawa pulang soalan percubaan SPM 2007 untuk negeri Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Pahang dan juga MRSM. Ini soalan yang dikirim oleh kakak iparku untuk memenuhi koleksi dia bagi semua soalan percubaan SPM untuk semua negeri. Soalan ini didapati disebuah kedai fotostat Sunlight di Alor Setar, sebaris dengan Sekolah Cina selepas Masjid Al-Bukhary laluan ke Bandar Alor Setar.

Menurut tokey kedai ini, koleksi soalan ini dimulakan oleh anaknya yang sekarang berada di tahun 3 kursus Medic di UM. Semua soalan ini dikumpul beliau melalui hubungan dengan cikgu-cikgu disetiap negeri. Semenjak dari itu, beliau meneruskan usaha yang dilakukan oleh anaknya itu. Semua soalan ini juga disediakan skema jawapannya sekali. Semasa di kedai itu, seorang cikgu sedang mencari soalan-soalan dari negeri Kelantan dan Terengganu yang menurut beliau selalu naik pada peperiksaan sebenar.

Berbalik kepada kakak iparku ini. Beliau adalah seorang yang sangat komited terhadap tugas sebagai seorang guru. Beliau selalunya akan memastikan anak muridnya akan mendapat yang terbaik. Bukankah dengan memberikan latihan soalan-soalan percubaan dari semua negeri, merupakan satu latih-tubi yang sangat baik buat persediaan menghadapi SPM yang tinggal tidak sampai sebulan lagi. Jadi tidak hairanlah, semua anaknya mendapat skor semua ‘A’ untuk semua peperiksaan yang mereka hadapi.

Dan kami pada hujung tahun ini, insyaAllah akan tinggal berdekatan dengan rumahnya di Taman Tunku Jaafar, N9. Semoga anak-anak kami akan menurut jejak langkah anaknya skor semua ‘A’ untuk peperiksaan UPSR dan SPM tahun depan. Amin.

Wednesday, October 10, 2007

Buku Travelog Haji karya Prof MKI


Selamat Hari Raya Maaf Zahir batin.



Sehingga saat ini aku telah membaca hingga mukasurat yang ke 81 dalam episod penceritaan buku ini. Paling hati ini tersentuh adalah bab ke 16 Universiti Baitullah(ms 74) "Itu Kaabah! Ya, itu Kaabah." Serentak dengan itu, aku sebak dan air mataku mengalir sebelum ku bacakan lagi tentang kami yang mengalirkan air mata. Tidak dapat aku bayangkan betapa terujanya dan takjub bila kita dapat melihat apa yang menjadi kiblat solat selama ini.

Dengan kisah buku ini, aku mengimbau kembali laluan kehidupan aku hingga ke saat ini. Ingin kembali membetulkan niat dan tujuan hidup. Mengutip dan mengamalkan apa yang lama telah ditinggalkan. Sentiasa berdoa dan berzikir kepadaNya. Kembali dengan solat dua rekaat bagi menunaikan segala hajat. Minta terus kepadaNya melalui solat. Moga dipermudahkan. Rabbi Yassir Wala Tuassir Ya Karim. Amin Ya Allah..

Tuesday, October 09, 2007

Cerita buku

Hari ini, aku ke Majlis Pelancaran Buku Travelog Haji oleh Prof Dr Muhd Kamil di Uitm Shah Alam. Walau pun pertama kali aku ke sana, tapi dapat juga aku sampai tepat jam 9.35 am. Majlis bermula jam 9.40 am. Seperti dijanjikan, pada akhir majlis kami dihadiahkan dengan sebuah buku itu dari beliau. Di kesempatan itu juga, aku membeli buku PHD: Kecil tapi signifikan. Seterusnya mendapat tandatangan penulis untuk kedua-dua buku itu. Walau hanya berkenalan di alam maya, ternyata Prof mengenali aku. Terima kasih dan jazakallah untuknya. Aku belum membaca buku Travelog haji itu. Tetapi membaca buku tentang PHD dulu. Ini kerana aku tidak bisa mahu menitis air mata pada waktu ini. Sedangkan pada masa penceritaan di majlis itu airmataku mengalir, inikan lagi jika aku terus membaca buku ini. Tapi, janji dengan Prof tetap aku ingat, Setengah muka surat komen atau ulasan tentang buku Haji ini dalam blog beliau.

Aku pun sudah lama tidak membeli buku. Kali terakhir buku yang dibeli pada bulan atau dua bulan lepas bertajuk "Menjadi Penulis jutawan". Walau bagai mana pun, aku tersentak apabila membaca komen dari Pn Ainon berkenaan buku berkenaan. Mana ada penulis di Malaysia menjadi jutawan hasil dari menulis buku? Tetapi untuk makluman semua, buku untuk jadi kaya ada berlambak di dalam almari mini perpustakaan aku. Namun aku tidak kaya-kaya jugak. Pernah ada satu tugasan yang aku tulis bertajuk" Pokok Jutawan".

Cita-cita untuk kaya tidak pernah padam. Semua telah dicuba, termasuk HYIP (High yield Income Profit)- Skim cepat kaya le tu. Satu balik modal, yang lain kantoi. Sekarang ini teringin hendak masuk bidang pertanian pula, sejak seminggu dua ini blog pertanian banyak telah dilawati. Dan..terlupa pulak! Rancangan perniagaan yang dibuat semasa buat BBA secara PJJ itu pun dalam bidang pertanian. Bela ayam kan? nanti bila lapang, aku akan abadikan di sini. Sebabnya, softcopy sudah hilang. Hanya tinggal hardcopy. Bukan senang nak salin semua ke dalam Ms Word. Akhir sekali, sebagai merealisasikan impian untuk menceburi bidang pertanian, maka kursus pertenakan kambing akan dihadiri pada 23 dan 24 Oktober ini.

Thursday, October 04, 2007

Apa cerita hari ini

Salam semua..

Semalam jam 4 pagi, aku terkejut dari tidur. Bukan kerana aku ingin bersahur awal tapi kawan sebilik menerima 'call' dari isterinya yang ingin di'cerubuhi' oleh seseorang yang telah menceroboh rumah mereka di Kulim. Walau pun tindakan si penceroboh itu tidak berhasil, tapi kesan dari perlawanan itu maka tangan isteri kawan kita ini terpaksa berjahit 10 jarum.

Semenjak Ahad ini juga, aku bersama 'kuda besi' yang dibawa dari Kulim. Perjalanan dengannya dari bilik sewaan itu ke sini, tempat kerjaku cuma 3 minit sahaja. Jadi sekarang aku tidak terkejar-kejar lagi. 15 minit mahu masuk kerja baru aku bersiap untuk datang. Ke tempat pengajianku pun begitu pantas sekali. Hanya 10 minit saja perjalanan dari tempat kerja ke sana.

Semalam juga, cek aku yang berjumlah ribu-ribu itu telah tertunai. Jadi dapatlah aku menjelaskan janji aku dengan pihak bank untuk membayar hutang-hutang mereka. Sebelum ini aku langsung tidak layan panggilan mereka, kerana janjiku untuk melunas segala hutang mereka sebelum ini menjadi tergendala dek kerana kesilapan kawanku di Kulim. Entah apa yang dipeningkan dia, cek aku itu dimasukkan ke bank yang lain.

Minggu ini juga adalah minggu peperiksaan PMR untuk anak perempuanku. Aku di sini tidak dapat hendak menolong membaca surah untuknya diketika peperiksaan berjalan. Hanya doa yang dapat ku panjatkan ditika kelapanganku. Harap emaknya saja untuk membaca al-Quran buat membantu kekuatan rohnya untuk menghadapi masa-masa peperiksaan.


Sekian.