Thursday, October 30, 2008

Anak Angkat

Semenjak dua menjak anak sulongku membuat masalah, kami(aku dan isteri) ditemukan dengan anak angkat tidak rasmi. Anak-anak ini merupakan kawan-kawan kepada anak sulongku. Ada yang sama tingkatan tetapi dikelas tercorot dan ada yang kurang satu tingkat. Semuanya di sekolah yang sama.

Mereka ini dari keluarga yang kekurangan dari banyak segi. Ada yang miskin, peniaga pasar malam dan ada yang baru dua bulan kematian bapa. Masing-masing seolah-olah dahagakan kasih-sayang dan keadaan yang lebih selesa..

Mereka ini mula berkampung di rumah kami setelah anak sulongku berkrisis dengan guru di sekolah pada hari Selasa dua minggu lepas. Wahasil dari itu, si sulong ini kena gantung sekolah lagi, dua minggu. Pada hari kejadian mereka ini membantu mencari si sulong ini yang telah menghilangkan diri pada hari itu. Kemudian pulang ke rumah bila sudah larut malam.

Semalam, bila aku pulang ke rumah yang agak lewat(10:30pm), mereka sudah ada di rumah. Menonton DVD dan borak-borak. Aku hanya menyapa mereka dan kemudian buat hal sendiri. Tidak aku tahu pulak jam berapa mereka pulang ke rumah, melainkan esok hari setelah mendapat laporan dari isteriku. Biasanya jam 12 tengah malam dan kadang terbabas ke jam 1.00 pagi. Kami telah menetapkan peraturan supaya mereka berada di rumah ini sehingga jam 12:00 malam sahaja. Selepas jam itu mereka boleh pulang atau jika ingin tidur di sini, silalah masuk tidur. Ini bagi memberi peluang untuk si sulong ini, bangun awal esok pagi dan kemudian dapatlah dia membaca buku.

Kami cuba melihat hikmah disebalik kejadian ini. Seolah-olah tuhan ingin memberitahu, lihatlah ada yang lebih teruk keadaan dari anak sulongmu. Tetapi, ibu atau ibu bapa mereka tidak menganggap mereka bermasalah. Mereka tidak perlu pun dipaksa membaca buku atau ke kelas tuisyen, waima ke sekolah pun. Mereka bebas pulang ke rumah bila-bila masa sahaja. Tidak kisah, kalau tak nak pulang pun. Mereka tidak perlu dipaksa untuk bangun bersolat subuh. Tidak solat langsung pun tiada siapa yang peduli. Cuma kelebihan mereka ialah sangat beradab dengan ibu bapa dan orang tua-tua.

Atau mungkin, oleh kerana kami tidak mahir mendidik anak sulong ini, maka ditambah lagi anak-anak yang sebaya dengannya supaya kami dapat mengasah bakat dan meningkatkan skil dalam mendidik anak.

Kami juga terasa diberi peluang untuk menjadi pendakwah. Sekarang sedang mencuba mencari pendekatan apa yang boleh digunakan ke atas mereka ini supaya dapat dijinakkan hati untuk mengamalkan amalan utama dalam agama, solat lima waktu. Kami masih memikirkan dan mungkin boleh dicuba dengan mengajar membaca al-Quran terlebih dulu. Kemudian baru boleh ditingkatkan kepada amalan yang lain.

Ia, kami sedang mencuba ini dan itu, kemudian boleh dilihat apa hasilnya. Doakan semoga kami berjaya.

Memohon:
Ya Allah, mohon diberi rezeki yang banyak dan yang berkaitan dengannya.

Ya Allah, kami memohon dijauhi dari mala petaka dan yang seumpamanya.

Ya Allah, kami memohon dijauhi dari perbuatan zina dan juga dijauhi dari punca mendekatinya.

Ya Allah, kami memohon kesihatan tubuh badan, fikiran dan amalan serta dihindari dari amalan yang membawa kepada keburukannya.

Ya Allah, kami memohon menjadikan anak-anak kami termasuk anak yang nama lain(anak angkat, anak saudara dan sebagainya) sebagai anak yang soleh dan solehah serta diberi kekuatan dan kemahiran untuk menjayakannya.

Amin Ya Rabbal Aa'lamin.

No comments: