Tuesday, April 14, 2009

Interview lagi

Ini adalah kali ke 4 kong kali kong aku kena interview. Interview ini untuk jawatan Pegawai Pentadbiran dan Pengurusan. Sejak graduat pada Mac 2006, setiap tahun(2006,2007,2008,2009) aku memohon kenaikan pangkat ini dan dipanggil temuduga. Masih belum berjaya dan terus mencuba dengan tidak berputus asa.

Cuma kali ini lokasi tempat temuduga telah diubah ke tempat berdekatan aku kerja, jalan kaki dalam 20 minit boleh sampai. Dulu, semua buat kat Hq. Entah, tempat aku ni nak panggil apa pun tak tau, ada kata Putrajaya, ada kata Bangi tapi ikut alamat Jalan kajang-Puchong dan area Kajang.

Ikut senarai yang dipanggil ujian profail dalam emel ada 42 orang, tapi macam-macam post yang ada. System Analyst, Engineer dan jawatan yang banyak kategorinya ialah jawatan yang aku pohon ini.

Belum buat apa-apa persediaan lagi, hint pun belum datang. Ikut skrip interview yang lama, "Sila Encik perkenalkan diri dan latarbelakang dalam bahasa Inggeris", kemudian ditanya Visi dan Misi serta initiatif syarikat. Kemudian mulalah aktiviti mendera, tanya mengenai kepimpinan, makna pengurusan dan ada bagi kes studi untuk dijawab. Pesanan terakhir, jika tidak berjaya cuba lagi dan jangan putus asa. Bila depa pesan begitu, rasa macam sudah tahu tak kan berjaya.

Harap kali ini, ada sesuatu yang mengujakan mereka dan dengan itu interview pun tidak lama dalam 15-20 minit sahaja tidak seperti selalu hingga menjejah hampir sejam. Harap-haraplah ada kelainan begitu dan dengan itu tidak perlu interview lagi.

Nota: Tarikh interview pada 20 April 2009, jam 9:30 am.

Ini mungkin boleh dijadikan 'hint':-

Sumber : http://ridzwan-bakar.blogspot.com/2008/11/biasiswa-post-grad.html


Pembaca budiman,

Alhamdulilah kelmarin saya dijemput untuk menjadi ahli panel temuduga untuk calon PHD dan Sarjana bagi sebuah Yayasan milik GLC. Kegembiraan tersemat di hati dengan jemputan dan pengiktirafan sebegini. Inilah satu lagi ruang untuk saya membantu membina generasi muda.

Rata-rata calon yang hadir memiliki CGPA yang cemerlang. Yayasan ini juga menetapkan CGPA minimum 3.6 untuk pengajian Masters dengan pengalaman kerja 5 tahun. Persaingan untuk merebut 3 tempat untuk tajaan universiti ternama di luar negara ini agak sengit jika diukur dari sudut akademik. Cuma 3 calon sahaja yang akan dipilih dari senarai seramai 18 orang yang telah menetapi kriteria.

Penilaian untuk mendapat biasiswa ini bukan berdasarkan kepada academic excellence semata-mata. Kebanyakkan calon silap perhitungan. Bagi saya, sudah tentu panel akan melihat dari sudut kepimpinan, emosi dan spiritual. Ada calon yang memberi isyarat badan seolah-olah mereka kecewa kerana gagal menjawab soalan teknikal dan ketidak mampuan mengolah kedudukan ekonomi dunia dan ekonomi Malaysia. Ada juga calon yang suka sangat ketawa di sepanjang sessi temuduga, ada juga yang ’kaki goreng’, ada juga yang cuba mengajar penemuduga dan ada juga yang tidak pandai mengambil hati penemuduga. Bagi calon PHD pula kebanyakkannya tidak bersedia bahkan gagal memahami apa itu ’research methodology’.

Sekiranya anda atau anak-anak anda bakal melalui proses permohonan biasiswa, tips berikut boleh membantu.
1. Ucapkan assalamualaikum dan hulurkan tangan untuk bersalam dengan ahli panel.
2. Senyum
3. Perkenalkan diri, latar belakang keluarga dan tahap akademik

4. ’Market’ diri sebaik mungkin dengan berhati-hati.

5. Jujur dan berterus terang. Bila di tanya soalan ’research methodology’, tidak perlulah goreng penemuduga seolah-olah penemuduga tidak tahu. Jika tidak pasti, katakan ”saya belum menguasai ilmu ini tuan”.

6. Buat homework dan tunjukkan minat dan kesungguhan kenapa saya layak mendapat biasiswa ini. Ada calon masters yang datang tidak bersedia, contohnya bila penemuduga bertanya ”Apakah pilihan universiti anda?” atau ”Berapa skor IELTS, GMAT / TOEFL yang anda sudah perolehi?” . Elakkan bertanya kembali kepada penemuduga seperti ”Oh... kena cari universiti dulu ke?” atau ”Kena ambil TOELF ke?” Atau ”apa itu IELTS/GMAT?”

7. Bagi calon PHD, hadirlah dengan persiapan ’research proposal’ anda. Tidak perlulah penemuduga tercari-cari apa sebenarnya yang anda ingin lakukan. Juga tunjukkan keseriusan anda dengan menerangkan ’literature review’ yang anda telah menelaahnya.

8. Elakkan meletakkan kepentingan diri dari kepentingan masyarakat atau organisasi/majikan. Jangan jadikan biasiswa sebagai batu loncatan untuk kepentingan diri. Contohnya: “Selepas tamat PHD, saya hendak jadi pensyarah di Universiti”. Penemuduga tidak berminat dengan jawapan sebegini. Mungkin untuk jawatan pensyarah universiti, jawapan sebegini sesuai. Penemuduga bagi maksud Yayasan GLC ini mengharapkan bakal Dr ini akan menjadi bakal pemimpin, bakal CEO atau memimpin team konsultansi. Ini adalah biasiswa Top 20 University dunia bagi membina barisan pelapis untuk menerajui korporat Malaysia.

9. Berdoa dan mohon kepada Allah. Kepandaian kita bukanlah faktor utama untuk kita memiliki biasiswa atau sesuatu perkara, kerana pemilikan abadi dan mutlak adalah kepunyaan Allah.

Kesimpulannya, terlalu banyak kelemahan yang dilakukan oleh anak-anak muda kita walaupun CGPA mereka melebihi 3.6. Jika mereka tidak menunjukkan kesungguhan dan minat, bagaimana mungkin penemuduga berminat dengan mereka? Ini adalah sessi sembang biasiswa top 20 universiti dunia, bukan sembang kopitiam.

ridz

No comments: