Tuesday, October 16, 2007

Apa yang dibawa pulang dari kampung.

Seperti lazimnya orang akan membawa pulang kuih-muih hari raya, apabila pulang dari kampung. Tapi, tidak dengan aku. Aku membawa pulang soalan percubaan SPM 2007 untuk negeri Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Pahang dan juga MRSM. Ini soalan yang dikirim oleh kakak iparku untuk memenuhi koleksi dia bagi semua soalan percubaan SPM untuk semua negeri. Soalan ini didapati disebuah kedai fotostat Sunlight di Alor Setar, sebaris dengan Sekolah Cina selepas Masjid Al-Bukhary laluan ke Bandar Alor Setar.

Menurut tokey kedai ini, koleksi soalan ini dimulakan oleh anaknya yang sekarang berada di tahun 3 kursus Medic di UM. Semua soalan ini dikumpul beliau melalui hubungan dengan cikgu-cikgu disetiap negeri. Semenjak dari itu, beliau meneruskan usaha yang dilakukan oleh anaknya itu. Semua soalan ini juga disediakan skema jawapannya sekali. Semasa di kedai itu, seorang cikgu sedang mencari soalan-soalan dari negeri Kelantan dan Terengganu yang menurut beliau selalu naik pada peperiksaan sebenar.

Berbalik kepada kakak iparku ini. Beliau adalah seorang yang sangat komited terhadap tugas sebagai seorang guru. Beliau selalunya akan memastikan anak muridnya akan mendapat yang terbaik. Bukankah dengan memberikan latihan soalan-soalan percubaan dari semua negeri, merupakan satu latih-tubi yang sangat baik buat persediaan menghadapi SPM yang tinggal tidak sampai sebulan lagi. Jadi tidak hairanlah, semua anaknya mendapat skor semua ‘A’ untuk semua peperiksaan yang mereka hadapi.

Dan kami pada hujung tahun ini, insyaAllah akan tinggal berdekatan dengan rumahnya di Taman Tunku Jaafar, N9. Semoga anak-anak kami akan menurut jejak langkah anaknya skor semua ‘A’ untuk peperiksaan UPSR dan SPM tahun depan. Amin.

No comments: