Monday, November 17, 2008

'Turning Point'

Semalam pulang dari kerja lebih masa dan tidur saja hingga petang. Walau ada cadangan untuk bangun solat Asar di masjid, keletihan mengatasi segalanya. Aku bangun jam 6 lebih. Malamnya solat Maghrib dan Isyak di masjid. Lepas maghrib cuba menghidupkan kembali taqlim bacaan hadis di rumah. Aku membaca fadhilat(kelebihan amal) mengenai solat dan bacaan Quran, semuanya tiga tiga hadis. Tapi taqlim ini secara berseorangan sahaja, dengan suara yang dikuatkan. Ahli keluarga lain tidak ingin pun menyertai walaupun diajak bersama. Tidak mengapa, ini baru permulaan. Kemudian sibongsu datang duduk sekejap.

Sekarang aku cuba menghidupkan amalan sembahyang lima waktu secara berjemaah di masjid. Keutamaan aku ialah pada solat subuh berjemaah. Bermula dari hari Selasa lepas, dua kali aku berjaya dan sekali aku gagal dan kembali dua kali berjaya dan sehingga pagi ini, dua kali aku gagal. Walau pun hari Sabtu aku mendapat markah penuh dan ditambah lagi dengan dapat hadir perhimpunan malam mingguan buat pertama kalinya. Tapi hari berikutnya aku gagal untuk bangun solat berjemaah di masjid. Ini membuatkan aku kehairanan dan tertanya-tanya kenapa aku tidak dapat bangun untuk solat subuh berjemaah di masjid. Adakah aku sudah berpuashati dengan prestasi pada hari sebelumnya. Atau aku terlepas cakap atau tersilap cakap. Aku meneliti setiap amalan dan perbuatan, juga apa yang terlintas di hati.

Sebelum tidur pada malam Ahad, aku sempat membuat solat sunat witir 2+1 rekaat. Kemudian berdoa dan menangis kerana sedih atas nasib yang menimpa anak nombor tiga yang tidak berjaya mendapat 5A atau sekurang-kurangnya 4A+1B dalam UPSR 2008. Mungkin ada silapnya amalan di situ atau sebelumnya aku menalipon kawan di Kulim yang anaknya berjaya mendapat 5A UPSR. Dulunya satu kelas dengan anak aku di sana.

Atau aku tersilap cakap mengenai kawan yang seorang ini dan mungkin boleh dikategorikan mengumpat. Tafsiran mudah mengenai mengumpat pada kefahaman aku ialah apa yang kita cakap mengenai seseorang dibelakangnya dan jika bercakap di depannya dia marah.

Tentu aku sendiri ingin merekodkan permulaannya titik perubahan dalam diri ini. Keazaman yang muncul untuk bangun awal dan bersolat subuh berjemaah di Masjid timbul setelah aku membaca buku ini. Diterima pada 4 November 2008 lepas dan seminggu kemudian baru dapat aku memulakan apa yang disarankan. Aku tidak ingin mengulas mengenai buku ini samada memuji atau membuat komen. Cuma aku ingin beramal dengan apa yang disarankan oleh penulis ini.

Dan itulah permulaannya iaitu bangun awal untuk solat subuh berjemaah di masjid secara istiqamah dan diawalkan bangun lagi untuk menghidupkan amalan dan sembahyang di 2/3 akhir malam. Tidak ingin juga aku menyebut nama buku ini kerana takut nanti penulisnya menemui blog ini pula dan nanti akan membawa ramai orang ke sini. Cukuplah gambarnya sebagai ganti.

Telah satu muka surat MS word aku tulis dan akhirnya aku masih menghimpunkan kekuatan di atas baki usia(40 an) dan sisa tenaga untuk menuju dan menemui Maha Pencipta diri. Dengan keyakinan dan amal yang dirasakan mencukupi dan kemudian menafikan segala-galanya dan hanya mengharapkan rahmatNya buat kembali menduduki syurga yang kekal abadi dan dapat melihat wajahNya di sana nanti. Ada manusia yang dapat masuk syurga tapi tidak dapat melihat wajah Allah di sana dan tangisan kekesalan mereka kerana tidak dapat melihat tuhan mereka lebih dahsyat dari mereka yang diseksa dalam api neraka.

Ya Allah, hanya kepadaMu aku memohon dan mengharap simpati dan aku tiada mempunyai apa daya dan upaya melainkan apa yang kau izinkan ke atasku.

No comments: