Sunday, November 25, 2007

Kuliah Usuluddin - Pemikiran Islam

Salam Malaysia..

Apabila sampai ke perenggan ini dalam nota subjek pemikiran Islam:-

"Ini bermaksud bahawa pendekatan akli dalam Islam tidak semestinya diterjemahkan dan disamakan dengan 'rasionalisme' dalam pengertian dan erti kata yang difahami di Barat. Dengan ini, Islam dalam pengertiannya yang syumul tidak memerlukan jenama-jenama atau label-label juz'iyyah atau khas yang lain seumpama 'rasional', 'rasionalis' atau 'rasionalisme' serta kata-kata serpihan dari istilah ini seperti 'liberal', 'moden', 'enlightened' dan sebagainya kerana tabiat Islam sememangnya mencakupi kesemuanya dalam bentuk yang lebih syarie. Pelabelan Islam dan umatnya dengan gelaran dan label-label ini hanya akan menghadkan kesyumulan Islam yang merangkumi dan meraikan semua aspek penting kewujudan termasuk kerohanian dan pemikiran di samping kebendaan."

Maka timbullah persoalan oleh beberapa orang penuntut mengenai Islam Hadhari yang sedang dipromosikan oleh kerajaan kita. Kenapa perlu lagi perlabelan Islam Hadhari ini? Jawab pensyarah, Islam Hadhari ialah satu pendekatan kerajaan Malaysia dalam mempromosikan Islam. Ini tidak sama dengan label yang dibuat oleh orang barat mengenai Islam. Sila rujuk maksud Islam Hadhari seperti yang dirujuk di sini(islamhadhari.net):-

"Islam Hadhari bukanlah satu ajaran baru, ianya adalah ajaran Islam yang sebenar yang berpaksikan al-Quran dan as-Sunnah ( Islam Fundamental ). Hal ini bukanlah satu perkara yang baru kerana agama Islam adalah satu agama yang syumul; agama yang sesuai sepanjang zaman dan agama yang merentasi sempadan tempat dan waktu. Malah penggunaan istilah 'Hadhari' telahpun digunakan oleh ilmuan Islam sejak dari dulu lagi seperti Ibnu Khaldun dalam kitab agungnya 'Al-Muqaddimah' dan pemikir al-Jazair iaitu Malik Bennabi yang cenderung menggunakan istilah 'hadhara' yang dianggap hampir kepada maksud keseimbangan kemajuan antara aspek material dengan akhlak dan spiritual. (Wan Suhaimi: 7)'

Juga timbul persoalan dengan gejala sosial yang semakin berleluasa sekarang, adakah salah Islam Hadhari ini dan apa yang sepatutnya dilakukan. Jawab pensyarah:- gejala ini adalah fenomena semasa yang berlaku di seluruh dunia Islam. Masing-masing perlu memberi sumbangan melalui saluran yang ada untuk mengatasi masalah ini. Tidak hanya dengan mengharap kerajaan sahaja untuk menanggani masalah ini. Berilah idea, ciptalah program, tulislah surat kepada menteri untuk memberi idea dan cadangan dalam mengatasi masalah ini. Gunalah persatuan-persatuan yang ada untuk menjalankan program seperti PIBG dan sebagainya. Jadilah penyumbang dan bukan hanya penyembang, yang hanya pandai menunding jari mencari kesalahan orang lain. Adakah boleh kita menyatakan, "Itu buang anak kerana Islam Hadhari lah atau itu kes ragut banyak kerana Islam Hadhari lah" Apa dia ini, satu kenyataan yang tidak kena.

Maka marilah kita sama-sama menyumbang kepada kemajuan Islam, baik dari aspek fizikal maupun rohani. Gunalah saluran atau persatuan yang ada, ciptalah program-program yang membantu perkembangan Islam. Jangan lah kita hanya pandai meng'kondem' program orang lain, sedang kita hanya diam membatu dari membuat apa-apa.

Sekian, wasalam.

Rujukan:

Wan Suhaimi Wan Abdullah (____). Modul 2, IUS201 Pemikiran Islam. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

islamhadhari.net (____). Konsep & Falsafah Islam Hadhari . http://www.islamhadhari.net/v4/prinsip/index.php [ 2007, November 25].

3 comments:

~albazrah~ said...

Pak cik, siapa yang ajar subject ni? Ustaz Wan Suhaimi ke yang mengajar? Kalau Ustaz Wan yang ajar, boleh tak pakcik sampaikan salam saya pada Ustaz Wan Suhaimi. Dia pensyarah saya yang selalu guide saya. Terima kasih pak cik.

zamri said...

Tak, bukan Ustaz Wan Suhaimi yang mengajar. Prof madya Ustaz Fakruddin, beliau baru pulang dari Mesir setelah 4 tahun menjaga pelajar Malaysia di sana. Pak cik pun nak minta guide dari Azma, macam mana nak skor paper ni. Semasa dalam kelas, Ustaz ada bagitau kena hafal ayat al-Quran untuk dijawab semasa dalam peperiksaan. Kalau boleh tulis jawi, lagi baik. Tapi, kena pastikan boleh menulis dengan betul. sekian.

Anonymous said...

Prof Madya Ustaz Fakhruddin pun guru saya, kalau ada peluang sampaikan salam. Mungkin Ustaz tak dapat ingat saya. Ustaz Fakhruddin tu berkuturunan ulama' besar (Pak Chu Him), di daerah gajah mati-pokok sena.

Saya doakan pak cik berjaya. Pak cik, mulakan menghafal sikit. Tapi jangan niatkan untuk periksa, niatkan untuk memahami ayat tersebut. Nak dekat diri dengan Allah.

Pengalaman saya, kalau hafal ayat untuk exam, lepas exam saya pun lupa. Tapi kalau saya hafal untuk faham makna dan nak fahami kalam Allah, Alhamdulillah hafalan itu lebih kukuh walaupun dah habis exam