Wednesday, December 29, 2010

Cerita Kejayaan: Cara Murali berdakwah melalui Drama

myMetro INTERAKSI: Cara Murali berdakwah
KENANGAN cukup manis buat pengarah drama, Mohd Murali Abdullah, 37, apabila kali kedua menang Pengarah Terbaik Drama di Anugerah Skrin (ASK) anjuran TV3.

Kali pertama di ASK 2008 menerusi drama Suara Saleha dan sekali lagi mencatat kejayaan di ASK 2010 yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, Jumaat lalu menerusi Sebelum Akhirat.

Drama menampilkan lakonan mantap Fauzi Nawawi dan isteri, Lisdawati ini begitu sarat dengan pengajaran, apatah lagi ia mengangkat tema keislaman. Fauzi juga menang Pelakon Lelaki Terbaik Drama.

Ramai bertanya, bagaimana saudara baru seperti Murali yang dilahirkan dengan nama Muralitharan a/l Vadivelu, mampu melakukannya sehingga membolehkan dia layak menang Pengarah Terbaik.

Jawapan mudah Murali, dia melakukannya kerana Allah. Bagaimanapun akui anak jati kelahiran Parit Buntar, Perak ini, kejayaan diraih hari ini tidak mudah. Banyak ranjau dan duri terpaksa dilalui.

Dia bermula sebagai pencuci tandas di produksi HVD sekitar 1988. Pembabitannya dalam dunia penerbitan drama bermula kerana minat hingga sanggup belajar walaupun tidak dibayar gaji.

Sedikit demi sedikit dia menapak 'tangga' untuk naik dalam bidang penerbitan sehingga bergelar pengarah. Tiada perkataan putus asa dalam kamus hidupnya.

Selagi tidak memperoleh apa yang diimpikan, selagi itulah dia akan mengejar cita-citanya.

Murali berkongsi pengalaman bersama wartawan Rap, RUDY IMRAN SHAMSUDIN (imran@hmetro.com.my), bagaimana dia berhadapan dengan situasi mengenal Tuhan selepas memeluk Islam pada 1995 atas nama perkahwinan dan perceraian dilalui mengubah pandangannya terhadap pegangannya sehingga dia mendalami Islam.

Drama mengangkat tema keislaman, dosa dan pahala menjadi antara jalur cerita digemari Murali untuk dihasilkan seperti Ehsan lakonan Zamarul Hisyam. Sebagai pengkarya, inilah cara Murali berdakwah kepada masyarakat sekaligus menunjukkan kecintaannya terhadap agama dan Allah. Karya popular Murali yang lain antaranya, Ular Emas, Jelma, Hilang dan Radio Gaga.

RAP: Pengertian kemenangan kali kedua untuk Pengarah Terbaik Drama di ASK2010?

MURALI: Saya akan menang buat kali ketiga, sebabnya saya sudah tahu apa penonton mahu. Lagipun, sebagai pengarah drama, sudah menjadi tanggungjawab saya untuk mendidik masyarakat. Begitupun, dengan kemenangan ini bermakna ada beban yang harus saya pikul terutama dalam memastikan setiap karya dibuat bagus dan bermutu. Pada masa sama saya bersyukur dengan rezeki Allah.

Kemenangan ini juga untuk semua terbabit sepanjang penggambaran Sebelum Akhirat dijalankan. Komitmen semua pihak daripada penulis skrip, kru dan pelakon menyebabkan Sebelum Akhirat menjadi karya yang kuat sehingga membolehkan saya menang anugerah ini. Saya mahu berkongsi kejayaan dengan mereka.

RAP: Pengarah mana saingan terdekat anda?

MURALI: Semua yang dicalonkan bagus dan kreatif. Untuk bergelar pengarah di Malaysia bukan mudah kerana kami perlu berdepan pelbagai cabaran. Kami bukan seperti pengkarya di negara luar yang diberi kebebasan seratus peratus. Di sini kami harus berdepan pelbagai kekangan untuk berkarya antaranya Lembaga Penapisan Filem, jumlah penonton yang menjadi panduan stesen televisyen, syarat tertentu stesen televisyen, kekangan kos dan kehendak penerbit.

Dalam keadaan begini, semua pengarah yang disenaraikan dalam calon akhir untuk anugerah Pengarah Terbaik Drama (Heykal Hanifah (Dalil Cinta), Khairul Azuan Othman (Kaki), Mohd Fahmi Samdi (Perempuan) dan Shahrul Ezad Mohameddin (Antara Garisan) mampu menghasilkan drama bermutu. Cuma, malam ini tuah dan rezeki berpihak kepada saya.

RAP: Adakah drama bertemakan keagamaan dan ketuhanan menjadi 'trend' sehingga anda menghasilkan drama begini bagi menarik penonton?

MURALI: Sebenarnya sekarang, masyarakat Islam di Malaysia sudah banyak tersasar dari landasan. Begitupun, sebahagian besar daripada mereka mula sedar dan cuba mencari jalan kembali. Saluran komunikasi seperti drama adalah antara cabang yang boleh digunakan bagi menarik mereka untuk kembali. Drama bertanding di Anugerah Skrin 2010 sebahagian besar dipilih berdasarkan jumlah penonton tertinggi dan buktinya sebahagian besar yang dipertandingkan adalah drama bertemakan sedemikian.

Ini bermakna masyarakat kini suka cerita yang memberi pengisian rohaniah. Pada saya, jika itu yang penonton mahu, mengapa tidak produksi mahupun pengarah seperti saya menghasilkannya (drama bertemakan keislaman). Lagipun ini tanggungjawab saya sebagai Muslim. Saya akan menggunakan kreativiti yang ada bagi memastikan cerita sedemikian digemari dan ditonton ramai.

RAP: Ada sebab lain anda menghasilkan drama bertema keislaman?

MURALI: Saya memeluk Islam sewaktu berkahwin pada 1995, tapi saya berani katakan, saya bukan seorang penganut yang baik. Apabila memperoleh petunjuk pada 2000, barulah saya mendalami Islam dalam erti kata sebenar. Saya belajar dan mendalami ilmu agama. Sebelum Akhirat bukan karya bertemakan keislaman pertama pernah saya hasilkan. Saya mahu berkongsi ilmu dan memberi pengajaran menerusi drama yang saya hasilkan untuk mengingatkan diri saya dan orang lain. Saya akan terus melakukan drama begitu atas kecintaan saya pada Allah.

RAP: Pandangan anda pertama kali menerima naskhah Sebelum Akhirat daripada penerbitnya, Enuja Production Sdn Bhd?

MURALI: Saya memang gemarkan skrip yang mempunyai latar atau jalan cerita keagamaan. Sebenarnya, hendak diikutkan pada peringkat awal skrip Sebelum Akhirat diberikan ia tidak seperti apa yang anda tonton di televisyen. Ia memaparkan kejahatan syaitan.

Selepas perbincangan, olahan dibuat di mana kita mengangkat tema baik dan jahat, hitam dan putih. Saya cuba masukkan sedikit ilmu yang saya pelajari sewaktu peluk Islam. Lagipun, tema ditampilkan itu boleh dikatakan sejagat kerana syaitan sebenarnya datang daripada diri kita sendiri tanpa kita sedar.

RAP: Cabaran yang anda hadapi sewaktu menghasilkan Sebelum Akhirat?

MURALI: Saya diberikan lapan hari saja untuk menyiapkan drama ini. Berhadapan dengan cuaca tidak menentu juga antara cabaran terbesar saya sebagai pengarah. Berfikir bijak akhirnya saya menggunakan cuaca hujan sebagai latar untuk mengangkat perasaan dalam Sebelum Akhirat.

Pelakon utama, Fauzi Nawawi disengat lipan di mata sehingga bengkak, tapi saya puji komitmennya. Dalam keadaan begitupun, Fauzi masih memberikan lakonan cukup berkesan. Dia memang layak menang Pelakon Lelaki Terbaik Drama. Selain itu, dalam keadaan waktu terdesak saya bertuah kerana semua tenaga produksi memberi komitmen penuh sehingga ia dapat dilakukan dengan baik.

RAP: Ada masalah mendapatkan skrip yang baik?

MURALI: Sekarang, hendak mencari skrip yang bagus memang susah. Kalau ada yang bagus, timbul pula masalah lain. Sebagai contoh tidak mendapat kelulusan berdasarkan garis panduan dan ada juga yang membabitkan kos tinggi. Kalau hendak diikutkan, pengarah di Malaysia sangat hebat. Walaupun terpaksa berdepan banyak kekangan, tapi masih mampu berkarya dan menghasilkan drama cukup bagus.

RAP: Anda pernah mengarahkan filem, tetapi gagal menarik perhatian penonton. Mengapa begitu?

MURALI: Saya pernah mengarah filem Aku Kaya The Movie, tetapi kurang mendapat sambutan. Bagaimanapun, ia tidak mematahkan semangat saya untuk terus berkarya menghasilkan filem kedua, Hantu Air. Ia baru siap dan dijangka ditayangkan tahun depan.

Bagaimanapun, saya tidak boleh bercerita banyak mengenainya kerana sudah berjanji dengan penerbit. Tunggu tahun depan dan sidang akhbar mengenainya akan diadakan tidak lama lagi.

No comments: