Friday, November 02, 2007

Dukacita

Hari ini secara rasminya, aku mengetahui keputusan temuduga kenaikan pangkat ke jawatan eksekutif yang dipohon pada bulan Jun yang lalu. Jawapannya DUKACITA. Kandungannya.."setelah diberi penilaian yang sewajarnya, dukacita dimaklumkan bahawa tuan telah tidak berjaya di dalam temuduga tersebut. Walau bagaimanapun saya berharap ini tidak akan mematahkan semangat tuan untuk menyumbang kepada kecemerlangan syarikat kita dan saya berkeyakinan bahawa tuan akan terus memberi khidmat dan sumbangan yang bernilai kepada syarikat." Kata aku" semangat tak patah tapi hati yang patah."

Ini adalah kali kedua aku memohon jawatan ini. Kali pertama jawatan sebagai Jururunding Dalaman itu pada bulan Julai 2006,diiklankan di laman intranet syarikat untuk Jabatan PQM (Pengurusan Kualiti dan Produktiviti) dan kali ini kekosongan untuk jawatan umum sebagai Pegawai Tadbir di berbagai jabatan. Ini menjadikan aku sudah hampir dua tahun 'menganggur'. Kali ini juga, semacam operasi isi penuh dijalankan oleh pihak HR (Sumber Manusia). Ramai calon yang dipanggil. Apakan daya..

Aku sedang melayan kekecewaan ku sekarang. Seperti kebudak-budakan aku telah tidak hadir ke kelas CIUC yang sedang aku ikuti sekarang. Dan bercadang untuk menamatkan saja pengajian ini atas alasan kewangan dan keboringan. Tapi aku masih memikirkan alternatif yang lain. Sayangkan..sudah semester 5 dan tinggal lagi 2-3 semester untuk ditamatkan.

Walau bagaimanapun, aku juga telah menerima tawaran untuk memulakan pengajian Usuluddin peringkat sijil di UM, kelmarin. Juga, selepas solat Jumaat siang tadi, aku telah pun bank-in duit yuran sebanyak Rm250 ke CIMB. Pendaftaran dari 5 - 10 November dan kuliah pertama pada 10 November ini. Aku memulakan pengajian dengan modul 2 dulu disebabkan modul 1 telah penuh. Modul 2 terdiri daripada 4 subjek..Pemikiran Islam, Akhlak Islam, Asas Dakwah dan Seni Islam. Moga-moga ilmu ini diberkati olehNya dan aku menemui apa yang dicari selama ini. Semoga aku dapat menamatkan pengajian ini yang berjumlah 3 modul semuanya. satu modul pengajian selama 4 bulan dan dijangka setahun untuk 3 modul ini. Selepas itu, bolehlah aku menyambung pengajian peringkat diploma dan seterusnya peringkat master.

No comments: